KEADAAN Honda City dinaiki tiga lelaki itu selepas kemalangan Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Alor Tuman, Marang. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN Honda City dinaiki tiga lelaki itu selepas kemalangan Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Alor Tuman, Marang. FOTO Ihsan PDRM
Nazdy Harun


Marang: Kemalangan membabitkan Honda City dinaiki tiga lelaki di sini, semalam, membongkar rahsia bahawa adalah ia kenderaan curi, selain pemandu dan penumpangnya adalah individu dikehendaki polis.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ts Mohd Razman Setapa berkata, kemalangan itu membabitkan pacuan empat roda dan Honda City itu di Kilometer 23, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Alor Tuman di sini, 12.30 tengah hari.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas Honda City itu mendapati nombor pendaftaran kenderaan terbabit adalah palsu.

Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.

Katanya, pemandu Honda City, berusia 27 tahun; penumpang hadapan berusia 28 tahun dan penumpang belakang berusia 33 tahun mengalami kecederaan ringan.

Katanya, ketiga-tiga mereka dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut peraturan 3(2) LN 166/59.

"Semakan rekod jenayah (kemudian) mendapati pemandu dan penumpang kereta Honda City itu mempunyai rekod jenayah lampau dan ketiga-tiga mereka individu yang dikehendaki polis," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, pemandu kereta Honda City berkenaan mempunyai lima kesalahan berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sembilan rekod berkaitan jenayah.

"Manakala, penumpang hadapan kereta itu pula mempunyai satu rekod berkaitan dadah dan dua kes membabitkan kesalahan jenayah.

"Penumpang belakang juga mempunyai dua rekod kesalahan berkaitan dadah dan empat rekod membabitkan kesalahan jenayah," katanya.

Mohd Razman berkata, semakan ke atas kereta Honda City itu mendapati ia dilaporkan hilang di Bukit Raja Klang, Selangor.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 8:47 AM