Nurul Fatihah bersama anaknya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Landak. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Nurul Fatihah bersama anaknya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Landak. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Jertih: "Pada awal saya seperti tidak percaya menghidap kanser payudara tahap dua dan pelbagai perkara bermain di fikiran terutama mengenangkan dua anak yang masih kecil."

Begitu kata wartawan sambilan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Terengganu, Nurul Fatihah Sulaini, 39, yang disahkan menghidap kanser payudara tahap dua pada Oktober tahun lalu.

Ibu dua anak itu mengakui bimbang apabila memikirkan penyakit dihadapinya barah utama menjadi penyebab kematian wanita sehingga dia mengambil masa untuk menerima hakikat berkenaan.

Bagaimanapun, Nurul Fatihah yang bertugas di NSTP Terengganu sejak 2016 enggan terlalu memikirkan penyakit itu dan bangkit melawan dengan sokongan suami, keluarga dan rakan-rakan serta dua anaknya.

"Memang mula-mula rasa hilang semangat dan sukar terima, tetapi saya cuba positif termasuk bergaul dengan mereka yang diuji penyakit sama.

"Daripada situ, saya bangkit dan lawan penyakit ini di mana sudah menjalani kemoterapi lapan kali di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

"Namun, saya sekali lagi diuji apabila doktor memaklumkan kanser saya sudah merebak ke tahap tiga dan pada Julai ini, saya akan menjalani pembedahan bagi mengelak sel barah merebak," katanya.

Nurul Fatihah berkata, penyakit dihadapinya membuat rutin harian berubah termasuk tidak mampu memberi komitmen kepada kerja menyebabkan pendapatannya terjejas 50 peratus.

"Saya memerlukan masa untuk pulih dan bekerja seperti biasa kerana badan menjadi lemah setiap kali selepas menjalani kemoterapi yang dilakukan setiap tiga minggu sekali.

"Situasi ini mengganggu rutin harian seterusnya menjejaskan pendapatan saya yang kini bergantung sepenuhnya kepada suami, Muhamad Supardi Harun, 38, yang bekerja sebagai penyelia tapak projek pembinaan.

"Saya berulang-alik ke HUSM dari Jertih dan perlu memperuntukkan RM200 kos setiap kali kemoterapi selain perlu ke hospital sama untuk bertemu doktor pakar yang mahu melihat keadaan kesihatan," katanya.

Menurutnya, pendapatannya sebagai wartawan sambilan kini juga tidak menentu dan hanya bergantung kepada suami dan wang simpanan selain bantuan daripada keluarga dan rakan.

Katanya, fokus kini untuk sembuh supaya dapat bekerja seperti biasa dan membantu suaminya.

"Bulan depan saya akan jalani pembedahan diikuti dengan radioterapi serta terapi hormon dan besar harapan supaya saya bebas daripada penyakit ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:01 AM