Medan selera di Jalan Kalong, Pudu yang diserbu polis.
Medan selera di Jalan Kalong, Pudu yang diserbu polis.
Oleh Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Medan selera di Jalan Kalong, Pudu yang diserbu polis kerana menjalankan aktiviti pelacuran selepas didedahkan Harian Metro baru-baru ini didapati beroperasi secara haram sejak 2019.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, medan selera itu beroperasi tanpa lesen dengan lesen terakhir yang dikeluarkan DBKL tamat pada 2019.

Di samping itu, menurut DBKL, permohonan pembaharuan lesen oleh pihak pengurusan medan selera berkenaan pada 2019 tidak diluluskan kerana didapati menggajikan pekerja warga asing serta menjalankan aktiviti yang tidak bermoral.

"Medan selera terbabit juga pernah disita DBKL pada 2018 atas kesalahan menjalankan aktiviti tidak bermoral, namun meneruskan operasi tanpa lesen selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Susulan tindakan terkini oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke lokasi terbabit, DBKL akan mengambil tindakan susulan berdasarkan kepada bidang kuasa yang ada bagi memastikan aktiviti seumpama ini tidak akan berulang lagi," katanya secara eksklusif kepada Harian Metro, semalam.

Terdahulu menerusi laporan eksklusif Harian Metro mendedahkan lubuk kegiatan pelacuran sekitar Pudu termasuk pelacur yang bersepah mencari pelanggan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong yang diserbu Sabtu lalu.

Susulan itu, polis menyerbu medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong sebelum menahan 27 orang termasuk GRO dan pelacur.

Serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu hasil pendedahan eksklusif Harian Metro sebelum ini berkaitan dengan kegiatan medan selera menawarkan khidmat seks serendah RM100.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:02 AM