Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin, 60, ditemui media ketika berkempen mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Taman Jawi Indah. FOTO DANIAL SAAD
Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin, 60, ditemui media ketika berkempen mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Taman Jawi Indah. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Dalam tempoh lima hari berkempen, calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap menyantuni separuh pengundi kawasan itu.

Joohari, 60 berkata, kempen dilaksanakan termasuk bantuan dari jentera Kerajaan Perpaduan menjadikannya ia semakin menarik sekali gus menerima maklum balas positif daripada pengundi.

"Kita (kempen) sudah mula masuk rumah ke rumah dan saya melihat pelbagai (keadaan) masyarakat sekitar kawasan ini.

"Tidak terkecuali juga ada yang menyuarakan masalah dan pendapat yang itu semua akan saya cuba bantu apabila dipilih menjadi wakil rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau Program Jualan Rahmah Bergerak di Tapak Parkir Taman Jawi Indah, di sini, semalam.

Sementara itu, beliau yang mesra disapa dengan panggilan 'Cikgu Joohari' berterima kasih kepada jentera yang membantu dalam kempennya termasuk Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek.

"YB Fadhlina bersama jentera wanita turun membantu berkempen bersama saya yang mendapat reaksi sangat baik.

"Fokus saya pada minggu pertama kempen adalah di kawasan putih terlebih dahulu dan kita akan masuk ke kawasan kelabu (pengundi atas pagar) pada minggu kedua (terakhir kempen).

"Saya akan cuba pastikan sampai di setiap pintu rumah dengan masa yang masih ada banyak lagi," katanya.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Joohari dan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 9:46 AM