MIZAN (tengah) ketika majlis pelancaran Kad Kredit-i Platinum Bank Islam baharu di Kuala Lumpur.
MIZAN (tengah) ketika majlis pelancaran Kad Kredit-i Platinum Bank Islam baharu di Kuala Lumpur.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menjangkakan pertumbuhan sehingga 20 peratus bagi pelanggan baharunya pada tahun ini terutama disumbangkan melalui Kad Kredit-i Bank Islam yang dipertingkatkan.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam (Perbankan Runcit), Mizan Masram berkata, Kad Kredit-i yang dipertingkatkan, mempamerkan pelbagai manfaat dan ganjaran baharu yang disesuaikan dengan gaya hidup pelanggannya.

Katanya, inisiatif ini menggariskan komitmen Bank Islam untuk menyediakan produk kewangan inovatif dan mengutamakan pelanggan menerusi penawaran ganjaran terpilih yang memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan perbelanjaan pelanggan.

"Kad Kredit-i Bank Islam yang dipertingkatkan bukan sekadar kad, ia adalah satu alat kewangan.

"Kami sedang mentakrifkan semula tawaran kad kredit kami untuk mempromosikan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab.

"Tawaran baharu kami ini, direka untuk membantu pelanggan berjimat ketika berbelanja dan menerusi program dwiganjaran, TruPoints untuk Mastercard dan pulangan tunai untuk Visa, kami menyediakan lebih banyak pilihan dan nilai yang lebih bermakna kepada pemegang kad," katanya.

Menurutnya, ciri baharu itu akan berkuat kuasa pada 1 Ogos depan dan dijangka meningkatkan kehidupan kewangan harian pelanggan dengan ketara, menjadikan Kad Kredit-i Bank Islam sebagai satu alat pengurusan kewangan yang penting serta mampu memperkasakan pemegang kad untuk mengawal kewangan mereka dengan baik demi mencapai kestabilan kewangan jangka panjang.

Beliau berkata, dipacu oleh inovasi, Kad Kredit-i Bank Islam berkedudukan untuk memenuhi selera unik pelanggan, berbeza daripada penawaran semasa bank ini di pasaran.

"Kami sedar bahawa semakin ramai pelanggan memilih pembayaran tanpa sentuh.

"Ganjaran kad baharu ini diperkenalkan untuk pelanggan baharu dan lebih 160,000 pelanggan sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:18 AM