KEPEMIMPINAN merupakan beban amanah (taklif) bukan keistimewaan (tasyrif) yang sudah tentu berat perhitungannya di mahsyar kelak.
KEPEMIMPINAN merupakan beban amanah (taklif) bukan keistimewaan (tasyrif) yang sudah tentu berat perhitungannya di mahsyar kelak.
Oleh Dr Zuraimy Ali

Pemimpin merupakan amanah sesuai dengan kehendak Allah SWT yang menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Bertepatan dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (Surah Al-Baqarah, ayat 30) . Kepemimpinan merupakan beban amanah (taklif) bukannya keistimewaan (tasyrif) yang sudah tentu berat perhitungannya di mahsyar kelak.

Di dalam sejarah umat manusia sudah berlalu ramai pimpinan yang dinukilkan melalui sejarah peradaban manusia. Sebahagiannya dicatatkan sebagai pemimpin yang adil dan sebahagiannya diingati dalam lipatan sejarah sebagai pemimpin yang zalim dan tidak amanah. Sebagai contoh kepemimpinan Islam yang terbaik ialah kepemimpinan Rasulullah SAW disusuli dengan Khalifah Abu Bakar dan seterusnya Amirul Mukminin Saidina Umar, Uthman, Ali dan sehingga hari ini yang sampai kepada kita kepemimpinan negara Islam yang diketuai oleh pimpinan yang adil dan amanah lagi beriman. Malaysia tidak ketinggalan dalam mengarus perdanakan kepemimpinan Islam berteraskan konsep Madani yang terangkum di dalamnya politik, ekonomi dan sosial yang adil memenuhi timbangan maqasid syariah serta dihiasi dengan konsep rahmatan lil alamin dan ihsan dalam penekanan soal nilai dan adab. Kendatipun semua maksud dan cita-cita terbabit sudah dimiliki sebaik mungkin dengan sedaya upaya untuk menggerakkan agenda islah (reformasi) hal yang terkait dengan pendidikan tidak pernah padam dan sentiasa menjadi aulawiyyat (keutamaan) bagi kerajaan pada masa kini.

Pemimpin perlu memiliki latar pendidikan yang luar biasa bagi menghidupkan kerangka Malaysia Madani. Manakala calon pemimpin yang tidak memenuhi 'piawaian ISO' terkait sijil pendidikan perlu direhatkan bagi memberi laluan kepada kepemimpinan yang memiliki pendidikan luar biasa. Hal ini adalah bertepatan dengan kehendak Allah SWT dan hanya mereka yang memiliki ilmu pendidikan luar biasa diangkat Allah SWT pada kedudukan yang mulia ketimbang mereka yang tidak memenuhi karamah (kemuliaan) ilmu sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud: "Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah, ayat 11). Sudah tentu pemimpin yang dilantik memiliki ilmu pengetahuan luar biasa hebatnya perlu diangkat sebagai pemimpin tulen dan ini merupakan salah satu syarat penting sebagai tunggak kekuatan Malaysia Madani pada hari ini.

Segelintir pihak yang mendakwa tahap pendidikan tidak penting adalah mereka yang sebenarnya gagal memahami kehendak dan matlamat keutamaan ilmu. Jika dicerakinkan melalui minda yang waras dan sihat dan tidak berdasarkan emosi sudah tentu manusia yang terbaik untuk diangkat pemimpin perlu memenuhi salah satu syarat yang wajib ada iaitu tahap pendidikan yang bermutu tinggi. Bayangkan pemimpin yang tiada tahap pendidikan yang bermutu tinggi hanya pandai membaca apa yang ditulis, tetapi tidak memahami apa yang dibaca. Ini akan menjadikan pemimpin terbabit gagal memimpin kerana apa yang dikata tidak pernah dikota. Jika ditanya lain pula yang dijawab. Jika dikata semuanya dusta belaka. Akhirnya segala punca penyakit tidak lain dan tidak bukan kerana pemimpin yang dilantik tidak memiliki tahap pendidikan yang memenuhi 'piawaian ISO' dan mangsanya ialah rakyat. Justeru, ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah." (Surah Al-Qasas, ayat 26)

Allah SWT menjelaskan melalui firman-Nya bahawa amanah sahaja tidak cukup tetapi 'kekuatan' diperlukan bersama dalam melantik pemimpin. Jika diberikan amanah, tetapi tidak ada kekuatan dari sudut pendidikan maka hasilnya ialah duit rakyat sebagai pembayar cukai hanya sia-sia. Untuk itu, setiap pemimpin yang dipilih mahupun dilantik bagi memikul amanah melaksanakan agenda negara dan rakyat perlu dalam kalangan mereka yang bukan sahaja amanah, tetapi perlu ada kekuatan ilmu pendidikan yang luar biasa. Ini sudah tentu memberikan sedikit harapan dan keyakinan bahawa kekuatan ilmu yang dimiliki pemimpin yang beriman dan amanah akan memberikan kebahagiaan buat seluruh rakyat. Bagi yang gagal dan tiada kekuatan ilmu wajar direhatkan terus atau ditangguhkan kenaikan pangkat agar duit rakyat tidak terbazir begitu sahaja. Malaysia Madani memerlukan pemimpin yang memiliki kekuatan pendidikan luar biasa serta tindakan luar biasa bagi mengangkat martabat, harakat dan darjat rakyat Malaysia tercinta sepelosok dunia.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:01 AM