Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Malaysia perlu menggunakan sistem telekomunikasi berasaskan satelit agar liputan komunikasi dapat diperluaskan ke segenap pelusuk terutama di kem tentera, kuarters polis dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang berada di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan liputan telekomunikasi lemah di kem tentera, kuarters dan pusat latihan polis di luar bandar meskipun dijanjikan yang terbaik oleh syarikat penyedia telekomunikasi.

"Kita melihat penyelesaian kepada masalah ini adalah penggunaan satelit sebagai jaringan telekomunikasi dan sudah tiba masanya kerajaan bergerak ke arah sistem ini agar ia dapat memberikan kemudahan kepada semua pihak terutama mereka yang berada di luar bandar.

"Nelayan di tengah laut tiada liputan telekomunikasi, penduduk kampung juga tiada liputan telekomunikasi kerana semua ini memerlukan menara telekomunikasi untuk memancar liputan ke semua tempat.

"Kita tahu bukan senang untuk mendirikan menara telekomunikasi di sesetengah tempat kerana ia memerlukan kebenaran pemilik tanah dan dilakukan mengikut prosedur dan undang-undang yang mengambil masa dan kos," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Pakaian Sekolah kepada anak anggota tentera, polis dan pegawai Pusat Koreksional Perlis di Markas Briged 30 Infantri, Kem Bukit Chowder, Mata Ayer, di sini, hari ini.

DATUK Zahidi Zainul Abidin yang juga Ahli Parlimen Padang Besar menyampaikan sumbangan kepada wakil anggota tentera di Markas Briged 30 Infantri di Kem Bukit Chowder, Mata Ayer, Padang Besar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
DATUK Zahidi Zainul Abidin yang juga Ahli Parlimen Padang Besar menyampaikan sumbangan kepada wakil anggota tentera di Markas Briged 30 Infantri di Kem Bukit Chowder, Mata Ayer, Padang Besar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Katanya, walaupun penggunaan sistem telekomunikasi berasaskan satelit agak mahal daripada segi kos, namun ia dapat memberi liputan secara menyeluruh.

"Kita faham penggunaan satelit ini mahal, tetapi kerajaan harus cari jalan untuk melaksanakannya bagi keperluan semua pihak terutama pasukan keselamatan negara.

"Malah, kita juga mencadangkan kerajaan supaya memberikan kuota dan data internet percuma kepada anggota tentera dan polis serta di IPT untuk digunakan oleh anak mereka dan pelajar untuk belajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 5:30 PM