AKTIVITI mengacau bubur secara gotong-royong pada program mengacau bubur lambuk sempena menyambut Ramadan di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat
AKTIVITI mengacau bubur secara gotong-royong pada program mengacau bubur lambuk sempena menyambut Ramadan di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang mengagihkan 4,500 bekas bubur lambuk kepada orang ramai sempena menyambut Ramadan di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, kelmarin.

Program yang memasuki musim ke-10 penganjurannya itu mendapat kerjasama daripada Ahli Jawatankuasa Pasar Tani UTC yang bergotong-royong menyediakan bahan serta aktiviti mengacau bermula 7 pagi dan berakhir enam jam kemudian.

Pengarah FAMA Pahang, Rosli Aw Da berkata, acara itu antara usaha mengeratkan lagi hubungan antara FAMA dan peniaga pasar tani serta pelanggan yang begitu setia berkunjung ke pasar tani setiap minggu.

Katanya, program kali ini mendapat sokongan pejabat Ahli Parlimen Kuantan, Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) serta beberapa agensi kerajaan dan swasta seperti Petronas yang menyediakan gas memasak dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

“Sambutan terhadap program itu setiap tahun amat menggalakkan, malah adakalanya ia tidak mencukupi untuk diagihkan kepada pengunjung pasar tani UTC terutama bagi yang datang lewat.

“Saya berpuas hati dengan kejayaan program ini dan ia dilakukan bagi meraikan ketibaan Ramadan ,” katanya selepas merasmikan program berkenaan.

Beliau berkata, pada program itu sebanyak 25 kawah digunakan untuk memasak bubur lambuk berkenaan.

Katanya, sempena Ramadan kali ini FAMA tetap akan meneruskan aktiviti pasar tani UTC setiap Ahad seperti biasa yang menawarkan pelbagai keperluan harian seperti sayuran, ikan, daging, ayam dan buah-buahan.

“FAMA berharap pengguna tidak melepaskan peluang mendapatkan keperluan harian di 37 pasar tani seluruh negeri sepanjang Ramadan bagi mendapatkan produk segar terus dari ladang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 12:24 PM