AHMAD menghasilkan makanan menggunakan tempoyak. FOTO Mohd Rafi Mamat.
AHMAD menghasilkan makanan menggunakan tempoyak. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


USAHA memperkenalkan tempoyak dan sambal hitam yang juga makanan tradisional negeri ini perlu dilakukan secara berterusan dengan sokongan pelbagai pihak.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak berkata, tempoyak keluaran negeri ini mula diterima pengguna seluruh negara sejak beberapa tahun lalu selepas mendapat sokongan FAMA negeri.

Katanya, produk berkenaan turut dieksport beberapa negara luar selepas mendapat sentuhan agensi kerajaan yang membantu daripada segi pembungkusan, promosi dan pemasaran.

“Saya berharap lebih banyak tempoyak dan sambal hitam negeri ini dikeluarkan bagi memenuhi permintaan pengguna.

“Bagi memenuhi pasaran antarabangsa pula produk berkenaan perlu dibungkus atau dibotolkan dengan sempurna, mempunyai label dan syarat lain ditetapkan syarikat pengedar,” katanya pada program jelajah Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) peringkat negeri Berjaya Megamall, Kuantan, kelmarin.

Ahmad berkata, tempoyak dan sambal hitam juga perlu dipelbagai guna, sebagai contoh dimakan dengan roti selain menjadi campuran produk makanan yang sesuai dengan selera pengguna.

Katanya, pihaknya menetapkan sasaran penganjuran 400 program JTDL di seluruh negara sepanjang tahun ini membabitkan penyertaan seramai 8,000 usahawan tani dengan hasil jualan kira-kira RM3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 12:06 PM