GAYA Sagnol memberikan arahan kepada pemainnya ketika menentang Portugal. FOTO AFP
GAYA Sagnol memberikan arahan kepada pemainnya ketika menentang Portugal. FOTO AFP
AFP

Gelsenkirchen, Jerman: Willy Sagnol berkata, Georgia tidak gentar dan akan memberikan tentangan sengit ketika menentang Sepanyol selepas pasukannya mencipta sejarah dengan mara ke peringkat 16 terakhir Euro 2024.

Georgia berdepan tugas sukar berdepan Sepanyol susulan kemenangan mengejut 2-0 ke atas Portugal dalam aksi Kumpulan F di Gelsenkirchen sekali gus mara pada penampilan pertama mereka di kejohanan utama.

"Kami memang tak fikirkan peluang untuk menang sebelum perlawanan tetapi kami tetap beraksi dengan cara kami," kata Sagnol.

"Sepanyol selepas ini. Mereka mungkin pasukan terbaik selepas tamat pusingan pertama, jadi ia satu lagi cabaran terbesar. Sudah pasti kami akan berjuang sehingga saat akhir seperti kami lakukan sejak bermula kejohanan."

Sagnol menambah dia masih sukar mempercayai skuadnya mampu menewaskan juara 2016 Portugal untuk mara ke peringkat kalah mati.

"Sukar untuk menyedari apa yang kami lakukan. Hari ini saya tidak mempunyai banyak kata-kata tetapi pada asasnya saya bangga dengan pemain dan bangga sebagai pengurus mereka."

Georgia akan berdepan Sepanyol, antara pasukan pilihan kejohanan yang mengumpul sembilan mata penuh dalam Kumpulan B di Cologne pada Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 9:18 AM