Tular di media sosial berhubung tuduhan satu kumpulan Telegram terhadap agensi itu mengenai penyelewengan penganjuran bazar Aidilfitri di Dataran Senawang dan tindakan saman terhadap peniaga di situ. Foto ihsan pembaca.
Tular di media sosial berhubung tuduhan satu kumpulan Telegram terhadap agensi itu mengenai penyelewengan penganjuran bazar Aidilfitri di Dataran Senawang dan tindakan saman terhadap peniaga di situ. Foto ihsan pembaca.
Ahmad Hasbi


Seremban: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) membuat laporan kepada pihak berkuasa susulan tuduhan liar kumpulan Telegram mendakwa berlaku penyelewengan penganjuran bazar Aidilfitri di Dataran Senawang dan tindakan saman terhadap peniaga di situ.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, dakwaan itu dipercayai berlaku susulan penambahan tapak niaga selepas ukuran semula dilakukan.

"MBS menerima tuduhan daripada pihak tidak bertanggungjawab melalui sosial media mengenai kes rasuah di Tapak Penjaja Dataran Senawang 1, 2 dan 3 serta tindakan kompaun ke atas peniaga di bazar Ramadan itu.

"Untuk makluman, MBS menawarkan sebanyak 248 tapak penjaja kepada penganjur yang berjaya dipilih melalui sesi pembentangan dihadiri calon penganjur, empat Ahli Majlis, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta pihak pengurusan tertinggi yang dipengerusikan Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban," katanya tadi.

Jelas beliau, pertambahan sebanyak 104 penjaja adalah kerana terdapat pengukuran semula ruang niaga yang ditawarkan.

"Pengukuran semula dan pengisian penuh ini diadakan kerana tiada lagi sekatan syarat dikenakan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Masri berkata, MBS juga menerima aduan mengenai kelewatan dalam mengeluarkan permit perniagaan sehingga penghujung Ramadan.

"Ini kerana terdapat pemohon mengemukakan permohonan lewat daripada tarikh sebenar namun MBS tidak mengambil tindakan kompaun terhadap peniaga berkenaan sehingga permit dikeluarkan.

"Notis yang ditularkan berkenaan adalah notis pemakluman kepada peniaga yang belum mendapat permit manakala kompaun yang dikeluarkan pula bukan atas kesalahan lesen, sebaliknya membabitkan kesalahan teknikal.

"MBS melaporkan tuduhan ini kepada pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Majlis meminta warga Seremban tidak menyebarkan perkara yang tidak pasti dan berita palsu tanpa merujuk terlebih dahulu daripada MBS," katanya.

Beberapa hari lalu tular dakwaan penganjuran bazar Aidilfitri di daerah ini terpalit isu rasuah yang mana peniaga dikompaun meskipun sudah mendapat kebenaran berniaga daripada penganjur dengan alasan mahu 'mengutip' bayaran lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 3:01 PM