Mohd Amin Jalil


KERAJAAN Negeri Sembilan akan memberi bantuan tunai RM300 sebagai permulaan kepada setiap peniaga dan penjaja kecil tepi jalan di daerah ini.

Bagaimanapun, ia hanya untuk peniaga yang bersetuju dengan peraturan ditetapkan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) termasuk bersedia berpindah ke Pusat Penjaja Setempat.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, syarat lain yang dikenakan oleh MBS ialah penjaja hanya dibenarkan berniaga di petak khas yang disediakan.

Katanya, mereka juga perlu membawa balik kesemua peralatan termasuk khemah, meja, kerusi, kenderaan dan lain-lain peralatan selain memastikan kebersihan tapak penjaja

"Setiap penjaja juga perlu mematuhi syarat perlesenan yang ditetapkan oleh MBS.

"Kita (kerajaan negeri) akan menawarkan bantuan tunai RM300 kepada setiap penjaja bagi meringankan beban mereka untuk memulakan perniagaan di tapak yang disediakan kelak," katanya selepas meninjau aktiviti gerai penjaja tepi jalan di sekitar Senawang, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baharu negeri Teo Kok Seong dan Datuk Bandar MBS Datuk Zazali Salehudin.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Aminuddin berkata, MBS sudah diarahkan untuk menyediakan tempat khas atau Pusat Penjaja Setempat di mana penjaja boleh menjalankan perniagaan dengan selesa dan selamat.

"Kita berharap peniaga dan penjaja berkenaan dapat menyambut baik cadangan dikemukakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu," katanya.

Sementara itu, Sazali berkata, tindakan MBS melakukan penguatkuasaan dengan merampas peralatan gerai penjaja di tepi jalan di sekitar daerah ini, baru-baru ini kerana terdapat peniaga dan penjaja menjalankan perniagaan walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan.

Beliau berkata, tindakan itu juga disebabkan mereka didapati mengabaikan aspek kebersihan di tapak perniagaan.

Bagaimanapun, tindakan itu hanya sementara dan peniaga serta penjaja boleh menuntut balik barangan berkenaan sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat dan Covid-19 reda.

"Semua penjaja boleh menuntut semula peralatan perniagaan masing-masing selepas tamat PKPB serta memulakan perniagaan setelah Tapak Penjaja Setempat disiapkan.

"Bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa mereka perlu mematuhi syarat yang ditetapkan termasuk memiliki lesen PBT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 2:19 PM