Taufek Abd Ghani (tengah) mengadakan perbincangan dengan wakil peniaga, penjaja di Taipan 2, Senawang, yang dicadangkan sebagai tapak tepat bagi aktiviti penjaja.
Taufek Abd Ghani (tengah) mengadakan perbincangan dengan wakil peniaga, penjaja di Taipan 2, Senawang, yang dicadangkan sebagai tapak tepat bagi aktiviti penjaja.
Mohd Amin Jalil


SEKUMPULAN peniaga dan penjaja kecil di Senawang berharap Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dapat mempertimbangkan hasrat mereka mewujudkan tapak gerai tetap di Taipan 2, Senawang. Penyelaras kumpulan itu, Mustaza Saharudin, 47, berkata kira-kira 200 peniaga kecil ketika ini tidak dapat meneruskan aktiviti kerana sekatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, peniaga akur dengan arahan kerajaan itu dalam menangani penularan wabak Covid-19.

"Sebelum ini, peniaga menjalankan aktiviti mereka secara berselerak di tepi jalan di sekitar Senawang hingga mendorong MBS mengambil tindakan kerana aktiviti itu boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19.

"Susulan larangan itu, kami mengusulkan supaya satu tapak tetap diwujudkan di Taipan 2 Senawang, bagi membolehkan peniaga terbabit dapat meneruskan semula aktiviti perniagaan sebaik tamat PKPB, namun dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kami berharap cadangan itu mendapat pertimbangan sewajarnya oleh pihak MBS demi kepentingan peniaga yang bergantung sepenuhnya kepada aktiviti itu untuk menampung keperluan keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani di Taipan2, di sini, hari ini.

Mustaza berkata, cadangan yang dikemukakan itu juga seiring dengan hasrat MBS sendiri yang mahu mewujudkan tapak perniagaan kekal bagi membantu peniaga dan penjaja kecil terbabit.

"Kami memahami kehendak MBS yang tidak mahu lagi melihat gerai didirikan di tepi jalan hingga menjejaskan imej bandaraya selain boleh menggugat keselamatan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Mohamad Taufek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan MBS minggu depan, mengenai cadangan peniaga dan penjaja terbabit.

"Saya akan cuba berbincang dengan MBS mengenai cadangan tapak berkenaan yang dikemukakan penjaja sebelum sebarang tindakan lanjut diambil," katanya.

Baru-baru ini, MBS bertindak menyimpan semua peralatan perniagaan penjaja kecil tepi jalan dan merobohkan gerai kerana didirikan tanpa kelulusan sebagai langkah mengelak penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 4:38 PM