ZAZALI (tengah) menyerahkan risalah mengenai Covid-19 dan vaksinasi kepada Ahli Majlis MBS di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil.
ZAZALI (tengah) menyerahkan risalah mengenai Covid-19 dan vaksinasi kepada Ahli Majlis MBS di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kompaun dan dilarang berniaga. Itu tindakan yang akan diambil terhadap penganjur dan pemilik gerai bazar Aidilfitri di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang didapati menyewakan gerai kepada warga asing.

Datuk Bandarnya, Datuk Zazali Salehudin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi kepada mereka yang melakukan perbuatan itu.

Katanya, penguat kuasa MBS akan meningkatkan pemantauan di semua bazar Aidilfitri bagi memastikan tiada peniaga luar yang berniaga.

"Pemantauan kita sangat teliti, kita sudah belajar sebelum ini, orang luar (warga asing) kita tidak benarkan berniaga.

"Kalau ada kita akan bagi kompaun dan mungkin larangan berniaga. Penguat kuasa kita juga ada menjalankan tugas dan memantau di semua kawasan bagi memastikan tiada peniaga asing yang berniaga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Pengedaran Bahan Mengenai Covid-19 dan Vaksinasi kepada Ahli Majlis MBS serta Ketua-Ketua Jabatan, di Wisma MBS di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha MBS, Mas Midyawan Yahya.

Sementara itu, Zazali berkata, seramai 20 peniaga bazar Ramadan di sekitar Nilai yang sebelum ini berniaga secara haram, sudah diberi kelulusan untuk berniaga.

Beliau berkata, pihaknya mendapati mereka yang berniaga secara haram di tapak berkenaan terdiri daripada mereka yang hilang pekerjaan kerana penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita faham mereka hilang pekerjaan dan tiada sumber pendapatan, jadi mereka memilih untuk cuba berniaga di bazar Ramadan, namun cara mereka tidak betul kerana kita ada peraturan yang perlu dipatuhi.

"Aduan diterima daripada peniaga di bazar berkenaan dan ramai yang tidak berpuas hati kerana mereka perlu bayar tapak dan pelbagai lagi, sedangkan peniaga ini tidak bayar, lalu timbul salah faham.

"Namun, semuanya berjaya diselesaikan dan mereka juga dikenakan syarat seperti peniaga lain," katanya.

Zazali berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima aduan mengenai kes membabitkan orang tengah di bazar Ramadan.

"Penganjur bazar Ramadan perlu bertanggungjawab dengan memastikan hanya mereka yang memohon kalangan rakyat tempatan dan memenuhi syarat ditetapkan PBT, diberikan tapak bazar," katanya yang setakat ini berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 11:47 AM