Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kajang: Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses memperkemaskan kaedah pendaftaran pelarian di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini disebabkan pihaknya tidak mempunyai angka yang tetap mengenai jumlah pelarian di Malaysia.

"Kecuali UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian) memberikannya melalui kaedah pendaftaran mereka," katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa Jabatan Penjara Malaysia di Masjid Penjara Kajang hari ini.

UNHCR di Malaysia sebelum ini memaklumkan seramai 183,790 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan pihaknya serta merupakan pemegang dokumentasi sehingga kini.

Saifuddin berkata, pengeluaran kad UNHCR bagi pelarian dan pencari suaka ini adalah sepenuhnya di bawah organisasi itu.

"UNHCR seperti kita tahu wujud sejak perang Vietnam dan sampai sekarang ia sebagai satu entiti di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Adanya dia dalam negara kita ini, fungsinya dua (iaitu) menguruskan hal ehwal pelarian.

"Kemudian berusaha menempatkan pelarian itu yang telah dikenal pasti dan ditapis untuk ditempatkan ke negara ketiga," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memaklumkan pertemuan beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini adalah berkait isu sama.

Katanya, pertemuan bersama Anwar bagi mendapatkan nasihat mengenai pengurusan pelarian di negara ini.

"Ada juga sentuh status UNHCR dan bidang kuasa UNHCR dalam menguruskan isu pelarian, kemudian berusaha menempatkan mereka di negara ketiga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 9:13 PM
SAIFUDDIN Nasution bersama Ketua Pengarah Penjara Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad (kiri) menyampaikan bantuan kepada kakitangan penjara. FOTO Hazreen Mohamad.
SAIFUDDIN Nasution bersama Ketua Pengarah Penjara Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad (kiri) menyampaikan bantuan kepada kakitangan penjara. FOTO Hazreen Mohamad.