PELARIAN Rohingya dimuatkan ke dalam lori untuk dibawa ke bangunan kerajaan susulan demonstrasi oleh penuntut universiti. FOTO AFP
PELARIAN Rohingya dimuatkan ke dalam lori untuk dibawa ke bangunan kerajaan susulan demonstrasi oleh penuntut universiti. FOTO AFP
PENUNTUT universiti melakukan bantahan di kem pelarian Rohingya di Aceh. FOTO Reuters
PENUNTUT universiti melakukan bantahan di kem pelarian Rohingya di Aceh. FOTO Reuters
AFP

Jakarta: Ratusan penuntut universiti di Aceh menyerbu tempat perlindungan sementara untuk lebih 100 pelarian Rohingya pada Rabu, dalam penolakan terbaharu terhadap minoriti Myanmar.

Lebih 1,500 pelarian Rohingya tiba di pantai wilayah Aceh sejak pertengahan November dalam apa yang dikatakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai kemasukan terbesar dalam tempoh lapan tahun.

Beberapa bot mereka menghadapi penolakan oleh penduduk tempatan, dan dalam beberapa kes 'dikembalikan' ke laut.

Penuntut, ramai yang memakai jaket dengan lambang universiti yang berbeza, memasuki dewan majlis kerajaan di ibu kota Banda Aceh, yang menempatkan 137 pelarian Rohingya.

Mereka mendesak supaya pelarian itu dipindahkan ke pejabat imigresen tempatan supaya mereka boleh dihantar pulang, menurut rakaman yang dilihat oleh AFP.

Ia menunjukkan pelajar melaungkan "tendang mereka keluar" dan "tolak Rohingya di Aceh". Penuntut juga dilihat menendang barang-barang milik pelarian Rohingya.

Beberapa wanita dan kanak-kanak menangis, manakala lelaki yang sedang solat, memandang ke tanah.

Penunjuk perasaan juga terbabit dalam pergelutan dengan polis yang mengawal pelarian yang dalam ketakutan, tetapi pegawai akhirnya membenarkan pemindahan mereka oleh pelajar, menurut seorang wartawan AFP di tempat kejadian.

Penuntut terbabit membakar tayar dan menyediakan lori untuk pemindahan Rohingya. Polis membantu pelarian itu untuk menaiki lori itu sebelum mereka dibawa ke pejabat kerajaan lain berdekatan, menurut wartawan AFP.

Polis Banda Aceh tidak menjawab permintaan AFP untuk mendapatkan komen.

Agensi pelarian PBB berkata, kejadian itu menyebabkan pelarian terkejut dan trauma.

"UNHCR (Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian) sangat bimbang mengenai keselamatan pelarian dan menyeru pihak berkuasa penguat kuasa undang-undang tempatan untuk tindakan segera bagi memastikan perlindungan semua individu terdesak dan kakitangan kemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan.

Ramai orang Aceh, yang mempunyai ingatan tentang konflik berdarah selama berdekad-dekad, bersimpati dengan nasib saudara seIslam mereka.

Tetapi yang lain mengatakan kesabaran mereka telah diuji, mendakwa Rohingya menggunakan sumber yang terhad dan kadang-kadang terbabit konflik dengan penduduk tempatan.

"Kami membantah kerana kami tidak bersetuju dengan Rohingya yang terus datang ke sini," Kholilullah, 23, seorang pelajar universiti memberitahu AFP.

Indonesia bukan penandatangan konvensyen pelarian PBB dan berkata, ia tidak boleh dipaksa untuk menerima pelarian dari Myanmar, sebaliknya menyeru negara jiran untuk berkongsi beban dan menempatkan semula Rohingya yang tiba di pantainya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 8:22 AM