JETI feri di Sungai Yangon, Yangon. FOTO AFP
JETI feri di Sungai Yangon, Yangon. FOTO AFP
AFP

Yangon: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa negara jiran kepada Myanmar untuk menghentikan pemulangan paksa rakyatnya dengan mengatakan banyak nyawa diletakkan dalam risiko.

Agensi pelarian PBB Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) berkata, pihaknya bimbang dengan pelbagai laporan pemulangan secara paksa pelarian dan pencari suaka, sejak Februari 2021 dari negara jiran Myanmar.

Agensi itu segera merayu kepada negara di rantau ini untuk menghentikan pemulangan paksa warga Myanmar yang mencari perlindungan daripada bahaya.

"Kami mengulangi gesaan kepada negara untuk terus menawarkan perlindungan kepada warga Myanmar yang melarikan diri untuk keselamatan.

"Ini juga termasuk menamatkan amalan penahanan tanpa batas pemohon suaka dan pelarian dari Myanmar," kata Penolong Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) Gillian Triggs.

Negara di Asia Tenggara itu bergolak sejak rampasan kuasa tentera tahun lalu, dengan sebahagian besar negara itu dilanda pertempuran.

Lebih 2,300 orang terbunuh dalam tindakan keras tentera terhadap pembangkang sejak rampasan kuasa yang menurut kumpulan hak asasi manusia termasuk memusnahkan kampung, pembunuhan besar-besaran di luar undang-undang dan serangan udara ke atas orang awam.

Junta menyalahkan pejuang antirampasan kuasa atas kematian hampir 3,900 orang awam.

Triggs berkata, keganasan itu mendorong orang ramai untuk melarikan diri, dan mereka harus dibenarkan mencari suaka di luar negara dan dilindungi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 10:33 AM