WARGA asing yang di tahan menunjukkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ketika Operasi Penguatkuasaan Imigresen di Pasar Besar Meru, Klang. FOTO Arkib NSTP
WARGA asing yang di tahan menunjukkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ketika Operasi Penguatkuasaan Imigresen di Pasar Besar Meru, Klang. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) memberi perlindungan kepada individu memenuhi kriteria sebagai orang pelarian yang memerlukan perlindungan antarabangsa tanpa mengira negara asal mereka.

Jurucakap UNHCR di Malaysia berkata, pelarian adalah seseorang yang terpaksa melarikan diri daripada peperangan serta konflik dan terpaksa melarikan diri akibat penindasan di negara asal kerana bangsa, kewarganegaraan, kumpulan sosial atau pandangan politik.

"Ini juga termasuk yang hilang perlindungan di negara sendiri dan tidak dapat pulang dengan selamat.

"Sesiapa yang memenuhi kriteria ini boleh disahkan sebagai pelarian yang memerlukan perlindungan antarabangsa tanpa mengira apa negara asal mereka," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persoalan yang dibangkitkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai tindakan UNHCR memberikan kad pengesahan pelarian kepada beberapa individu warga Indonesia dan Indonesia yang dikesan dalam operasi dijalankan di Pasar Besar Meru, Klang, Selangor, Sabtu lalu.

Menurutnya, terdapat lebih 25 juta pelarian dan pemohon suaka dari pelbagai negara yang dianggap sebagai memerlukan perlindungan antarabangsa di seluruh dunia.

"Tiada rangka kerja di peringkat kebangsaan untuk menguruskan pemohon suaka menyebabkan UNHCR mengambil tugas mengusahakan proses menentukan status orang pelarian.

"UNHCR mengeluarkan kad kepada individu yang memenuhi definisi yang diterima antarabangsa sebagai orang yang memerlukan perlindungan suaka tanpa diskriminasi berdasarkan bangsa, agama atau kewarganegaraan.

"Selaras dengan prinsip hak perpaduan keluarga yang diiktiraf antarabangsa, ahli keluarga tanggungan terdekat termasuk dalam proses ini," katanya.

Katanya, proses penentuan status pelarian oleh UNHCR membabitkan prosedur temuduga dan penyelidikan berdasarkan kriteria diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara ahlinya.

"Ia mengenai siapa yang dianggap sebagai pelarian dan dinilaikan berasaskan maklumat negara asal.

"Hanya menerusi proses kukuh dan penilaian ketat ini, UNHCR dapat menentukan jika seseorang mempunyai tuntutan sah untuk mendapatkan perlindungan antarabangsa dan bukannya migran ekonomi," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan kerajaan Malaysia mengenai hal yang mahu ditangani termasuk memeriksa cara-cara merapatkan kerjasama dan membuat pendaftaran bersama.

"Selama beberapa tahun juga, pihak UNHCR menjadi hos kepada delegasi dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan termasuk pegawai kanan untuk memerhati proses kami dan cara penentuan status pelarian dilakukan.

"UNHCR sukacita menanti perbincangan dengan kerajaan Malaysia dan kita ada mengadakan lawatan terbaru (dengan pihak kerajaan) pada tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 6:11 PM