GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Orang ramai diingatkan agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan berbaur kebencian membabitkan elemen perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R – Race, Religion, Royalty) di media sosial dan aplikasi pemesejan.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, ia susulan beberapa insiden membabitkan elemen 3R yang berlaku sejak kebelakangan ini yang dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian di dalam negara.

Katanya, ucapan berbaur kebencian merujuk kepada kata-kata ucapan ataupun gambar yang menuduh, merendah-rendahkan nilai seseorang individu atas faktor perkauman, etnik, agama mahupun kewarganegaraan

mereka.

"Sehubungan itu, MCMC akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R.

"Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap mereka yang terbabit mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

Beliau berkata, pentadbir portal berita dalam talian, media sosial dan aplikasi pemesejan digesa untuk menggunakan kuasa editorial mereka untuk menguruskan komen-komen daripada netizen di platform mereka.

"Pihak penyedia platform media sosial pula diminta untuk lebih bertanggungjawab dalam menurunkan kandungan-kandungan berbaur provokatif dan berbahaya apabila dikesan.

"Sekiranya terjumpa kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Diraja dan perkauman, segera laporkan insiden tersebut kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/, talian aduan: 1800-188-030, WhatsApp di 016 2206 262 dan e-mel di [email protected].

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui

pautan https://sebenarnya.my/salur/," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 9:34 AM