GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati penyebaran berita palsu serta berbaur provokasi dalam talian berkurangan berbanding tempoh kempen ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Interimnya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan pihak penyedia platform untuk menurunkan kandungan berbentuk provokasi.

"Sehingga kini, sejumlah 101 hantaran provokasi dilaporkan dan kesemua hantaran berkenaan sudah diturunkan.

"SKMM menghargai kerjasama Tik Tok dan Instagram atas kepantasan mereka dalam menurunkan kesemua kandungan yang dilaporkan kepada mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, SKMM akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menular semula kandungan lama yang diturunkan atau akaun dinyahhapus.

"Sehingga semalam, Pasukan Petugas Siber Polis Diraja Malaysia PDRM-MCMC menerima sebanyak 36 aduan dengan 20 daripadanya diselesaikan melalui tindakan administratif iaitu sama ada melalui penurunan kandungan dan penafian di portal sebenarnya.my.

"Sebanyak 12 kertas siasatan dibuka dan proses siasatan sedang dijalankan termasuk mengenal pasti mereka yang terbabit.

"Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, orang ramai diseru untuk menghormati perbezaan pandangan dan pendapat selain menerima kepelbagaian dan inklusiviti masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"SKMM sedang bertindak dan mengerahkan pasukan kami bersiap siaga sepanjang masa dan boleh dihubungi melalui saluran yang disebutkan di bawah sekiranya anda perlu membuat sebarang aduan," katanya.

Orang ramai boleh melaporkan kepada SKMM jika terjumpa kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, institusi raja dan perkauman melalui portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/; talian aduan: 1800-188-030; WhatsApp di 016-2206262 dan e-mel di [email protected].

Maklumat juga boleh disalurkan melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 2:19 PM