GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Cyberjaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah mengambil tindakan terhadapindividu yang menyalahgunakan media sosial apabila sebanyak 48 pertuduhan difailkan di mahkamah bagi tempoh antara Januari sehingga September 2020 lalu.

Angka itu memperlihatkan peningkatan sebanyak 66 peratus dan lebih tinggi berbanding pada tahun 2019 setakat suku ketiga tahun 2020.

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC berkata, daripada jumlah itu, 34 pertuduhan membabitkan kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Menurutnya, perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah mencatatkan angka tertinggi iaitu

sebanyak 22 pertuduhan.

"Ini diikuti pula dengan kandungan jelik sebanyak sembilan pertuduhan serta kandungan palsu sebanyak tiga

pertuduhan.

"Manakala 14 pertuduhan yang selebihnya adalah kesalahan yang dilakukan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, seperti yang diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara berpandukan kepada hasil keterangan yang diperoleh.

"Kesalahan yang dilakukan melalui aplikasi Facebook dan Twitter mencatatkan angka yang tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 14 pertuduhan dan ia diikuti rapat oleh WhatsApp sebanyak 13 pertuduhan

sementara Instagram dan blog masing-masing mencatatkan bilangan terendah iaitu satu (1) pertuduhan sahaja.

"Secara keseluruhannya, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2020 sahaja, MCMC telah menerima sebanyak 178 Laporan Maklumat Pertama atau First Information Report (FIR) berkaitan dengan kesalahan

penyalahgunaan media sosial, berbanding dengan hanya 139 yang diterima bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

"Sebarang perkongsian atau penyebaran kandungan palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 AKM 1998," katanya.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

"Peningkatan dari segi bilangan pertuduhan di mahkamah menunjukkan ketegasan MCMC dalam menangani salah guna media sosial yang masih berleluasa dalam kalangan rakyat. Selain itu, tindakan berkenaan juga bertujuan untuk memastikan persekitaran Internet yang selamat dan terjamin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC Zulkarnain Mohd Yasin menegaskan, tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang menyalah guna media sosial termasuk penyebaran berita palsu adalah perlu demi kebaikan

semua.

Ujar beliau, ketegasan pihak MCMC dalam melaksanakan penguatkuasaan adalah penting bagi menghantar mesej jelas kepada si penyebar bahawa mereka yang terbabit tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Zulkarnain turut menggesa orang awam agar sentiasa patuh akan undang-undang dan tampil memainkan peranan dalam membantu pihak berkuasa dalam menangani salah guna media sosial seperti penyebaran berita-berita palsu.

"Orang awam boleh membantu pihak berkuasa dalam hal ini dengan membuat aduan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ataupun kepada MCMC melalui e-mel aduan iaitu [email protected],

WhatsApp di talian 016-220 6262 ataupun Portal Aduan MCMC pada pautan https://aduan.skmm.gov.my/," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 12:03 PM