GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihati berhemah serta menjauhkan diri daripada memberikan pandangan berbaur kebencian membabitkan kaum dan agama.

Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, semua pihak harus menghormati keputusan pilihan raya dan pemilihan Perdana Menteri yang akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan hati terbuka.

"Sehubungan itu, SKMM akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R, iaitu Raja (Royalty), Agama (Religion) dan Kaum (Race).

"Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali," katanya tadi.

Menurut Mohamad Salim, tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap mereka yang terbabit berdasarkan aduan daripada orang awam.

"Tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

"Laporkan insiden atau kandungan yang bersifat hasutan, provokasi ataupun yang menghina kepada SKMM melalui portal Aduan SKMM di pautan http://aduan.skmm.gov.my/.

"Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/ ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 2:47 PM