Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan mahupun pandangan berbaur kebencian dan penghinaan membabitkan Institusi Diraja di media sosial mahupun aplikasi pemesejan.

SKMM dalam kenyataan hari ini berkata, peringatan ini dikeluarkan susulan perkongsian individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan kandungan berbentuk penghinaan terhadap Institusi Diraja.

Katanya, SKMM akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan Institusi Diraja.

"Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

"Tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap mereka mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat," katanya.

Justeru, orang ramai diingatkan tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menghina Institusi Diraja sebaliknya melaporkannya kepada MCMC di pautan https://aduan.mcmc.gov.my dan PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 3:17 PM