IBU mangsa tidak dapat menahan sebak selepas melihat mayat anaknya malam ini. FOTO Bernama
IBU mangsa tidak dapat menahan sebak selepas melihat mayat anaknya malam ini. FOTO Bernama
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Rawang: Kanak-kanak berumur enam tahun yang dilaporkan hanyut selepas terjatuh semasa bermain di tepi longkang di Taman Pinggiran Pelangi, di sini, ditemukan lemas.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, mangsa ditemui tersangkut di dahan pokok tumbang pada jam 7.45 malam tadi.

"Mangsa tersangkut pada dahan sebatang pokok yang tumbang ke dalam longkang pada jarak satu kilometer dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

"Mangsa dibawa naik pada jam 8.44 malam dan pada jam 9 malam kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hafisham berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran rumahnya semasa bermain bersama adiknya dan seorang rakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 11:00 PM