Operasi SAR dijalankan bermula dari lokasi mangsa terjatuh sehingga sungai berdekatan. FOTO ihsan bomba
Operasi SAR dijalankan bermula dari lokasi mangsa terjatuh sehingga sungai berdekatan. FOTO ihsan bomba
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Rawang: Kanak-kanak berumur enam tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang semasa bermain bersama adiknya dan seorang rakan di Taman Pinggiran Pelangi, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.19 petang tadi.

Menurutnya, 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang tiba di lokasi pada jam 6.23 petang untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang berkenaan yang terletak hampir dengan kawasan perumahan di situ, sebelum dihanyutkan arus deras.

"Sebelum kejadian, mangsa dikatakan bermain di kawasan itu bersama seorang rakan dan adiknya selepas hujan reda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hafisham berkata, operasi SAR dijalankan dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh sehingga ke kawasan sungai berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 9:28 PM