Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Kanak-kanak lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang besar berhampiran parkir Smart Safe, Hospital Ampang Puteri, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang , Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam jam 5.30 petang memaklumkan seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam longkang besar.

Menurutnya, sepasukan polis dikejar ke tempat kejadian dan usaha menyelamat sedang dijalankan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dan Shah Alam.

"Mangsa dipercayai seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia 12 tahun.

"Usaha mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan bertumpu di kawasan kolam takungan air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Smart Tunnel, Berembang, Hulu Klang," katanya dalam satu kenyataan,

Katanya, setakat jam 8 malam ini usaha mencari mangsa masih sedang giat dijalankan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.36 petang dan tiba di lokasi 5.43 petang.

"Sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi membabitkan kekuatan seorang pegawai dan tujuh anggota bomba dari BBP Ampang.

"Setakat ini mangsa masih belum ditemui berikutan arus air yang laju dan dalam dan turut dibantu BBP Shah Alam yang dimaklumkan ke lokasi pada jam 6.08 petang," katanya.

RAKAMAN video sekumpulan kanak-kanak bermain sebelum seorang daripada mereka dihanyutkan arus deras. FOTO tular media sosial
RAKAMAN video sekumpulan kanak-kanak bermain sebelum seorang daripada mereka dihanyutkan arus deras. FOTO tular media sosial

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 9:00 PM