Siti Aminah Mohd Yusof


Butterworth: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 1,907 naskhah al-Quran dan 2,060 bahan mengandungi ayat al-Quran yang didapati tidak mempunyai kelulusan KDN dianggarkan bernilai RM160,000 pada dua serbuan berasingan di Selangor dan Pulau Pinang awal bulan ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, serbuan kedua pada 9 Januari lalu itu membabitkan sebuah pangsapuri di Bukit Mertajam di sini, yang disewa serta dijadikan stor menyimpan al-Quran, dipercayai diseludup dari Indonesia.

"Alasan pemilik ialah mereka tidak maklum mengenai keperluan mendapatkan kelulusan al-Quran yang dibawa masuk. Walhal, apabila serbuan dibuat, kita dapati al-Quran ini cuba disorok dengan tidak mempamerkan naskhah al-Quran yang dijual.

"Terdapat juga al-Quran yang disimpan dalam kotak dan pemeriksaan lanjut mendapati naskhah al-Quran itu dicetak di Indonesia dan kita masih menyiasat bagaimana ia dibawa ke negara ini," katanya pada sidang media di Wisma Pantai di sini, hari ini.

Nik Yusaimi berkata, pada serbuan jam 3 petang itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 40-an yang juga penjaga premis berkenaan.

Namun, kata beliau, untuk rekod, kedua-dua premis di Selangor dan Pulau Pinang itu tiada kaitan antara satu sama lain.

Menurutnya, premis terbabit didapati menjalankan aktiviti pengedaran dan penjualan al-Quran serta bahan cetakan berkaitan sebagai sumber pendapatan utama sejak 2022.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (1) dan Seksyen 14 (1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986.

Beliau menegaskan, KDN akan terus menjalankan risikan dan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

"Kami yakin, kejayaan Op Mulia ini akan membawa kepada pembongkaran membabitkan rangkaian aktiviti seumpama itu di lokasi-lokasi lain selepas ini," katanya.

Menurutnya, nilai rampasan bagi Pulau Pinang dianggarkan RM103,000 dan al-Quran berkenaan untuk edaran seluruh negara.

"Dipercayai, naskhah berkenaan ditempah atas permintaan untuk pelbagai tujuan seperti infak kepada komuniti atau dijual semula, terutamanya secara atas talian.

"Antara kesalahan yang dikesan termasuk kesilapan pada cetakan tulisan ayat al-Quran, tidak mempunyai perakuan serta hologram KDN serta tidak melalui proses semakan dan disahkan betul oleh pakar.

"Kami melihat ada kemungkinan al-Quran ini menjadi pilihan kerana reka bentuk yang pelbagai serta menggunakan warna menarik.

"Selain itu, ada yang ditulis terjemahan rumi di bawah ayat bahasa Arab yang dianggap mudah dibaca tetapi ini dikhuatiri membawa kepada sebutan serta makna tidak tepat," katanya.

Nik Yusaimi berkata, jika terdapat keperluan mengimport atau membawa masuk al-Quran untuk tujuan edaran atau jualan kepada masyarakat, pihak berkaitan perlu mendapatkan kelulusan KDN untuk berbuat demikian.

Beliau memaklumkan, sehingga kini, terdapat 912 pruf akhir teks al-Quran di Malaysia dan ini bermakna, terdapat 912 jenis terbitan al-Quran yang sudah diluluskan KDN sebagai pilihan sama ada untuk dijual, dimiliki atau diedar dalam kalangan masyarakat.

"Masyarakat dinasihati supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti membeli, menerbitkan dan menjual teks atau bahan bacaan al-Quran yang tidak mendapat kelulusan KDN," katanya.

PROSIDING inkues bagi menyiasat punca kematian bayi perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri, berlsambung hari ini. FOTO Azrul Edham.
PROSIDING inkues bagi menyiasat punca kematian bayi perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri, berlsambung hari ini. FOTO Azrul Edham.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 5:03 PM