Nik Yusaimi Yussof
Nik Yusaimi Yussof
BERNAMA

Putrajaya: Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) meluluskan pemuliaan (pelupusan) 2,513 naskhah teks al-Quran dan 10,788 unit bahan al-Quran yang tiada perakuan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau terdapat kesilapan pada ayat, rosak dan usang.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof dalam kenyataan hari ini berkata kelulusan itu adalah antara ketetapan yang dibuat semasa Mesyuarat LPPPQ Kali ke-108 Bilangan 2 2023 anjuran KDN menerusi Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan.

Katanya, ketetapan lain termasuklah memperakui dan mengesahkan 16 pruf akhir al-Quran yang lulus, menjadikan jumlah keseluruhan terkini yang dibenarkan untuk dicetak, diterbit, diimport dan diedar di dalam negara adalah sebanyak 932 jenis.

Beliau berkata turut ditetapkan ialah larangan pengimportan, penjualan dan pengedaran al-Quran dan terjemahan al-Quran tanpa teks bahasa Arab, selain semua terjemahan ayat al-Quran di Malaysia mesti berpandukan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Selain itu, katanya semua al-Quran import diwajibkan mematuhi prosedur permohonan, semakan dan perakuan di bawah Seksyen 7 Akta Percetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 sebelum dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia.

Nik Yusaimi berkata pelaksanaan program berimpak "Jom Exchange Al-Quran" (JEQ) akan diteruskan di seluruh negara dalam misi "Ke Arah Sifar al-Quran Tiada Perakuan KDN".

LPPPQ turut memperakui laporan penguatkuasaan di bawah APTQ 1986 hingga Jun 2023 dengan nilai rampasan berjumlah kira-kira RM453,600, katanya.

Beliau berkata KDN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penjualan ataupun pengedaran al-Quran atau bahan al-Quran yang menyalahi akta dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai diseru memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan teks atau bahan al-Quran yang tiada perakuan KDN dengan menghubungi talian 03-8000 8000 atau melalui laman sesawang www.moha.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 4:03 PM