Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas pelbagai bahan al-Quran dan peranti elektronik yang tiada perakuan B dianggarkan berjumlah RM61,890, di sebuah premis perniagaan di Seberang Takir, dekat sini, hari ini.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Penguat kuasa dan Kawalan (PDK) KDN Putrajaya pada 9.30 pagi.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, dalam serbuan itu, 12 unit pemacu pena mengandungi 12,000 filem pelbagai tajuk dirampas.

Beliau berkata, turut dirampas 28 unit kad memori mengandungi 12,040 filem pelbagai tajuk dan 25 unit pemain video disita kerana disyaki untuk kegunaan menonton filem terbabit.

"Kita merampas satu unit komputer riba mengandungi 2,000 filem pelbagai tajuk dan satu unit cakera keras mengandungi 2,000 filem pelbagai tajuk.

"Dalam serbuan itu juga, 25 unit kad memori mengandungi 30 juzuk ayat al-Quran dan 25 unit radio elektronik disita.

"Kita turut menahan seorang lelaki berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di pejabat Bahagian Penguatkuasan dan Kawalan, KDN Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bahan berkenaan dirampas kerana tiada perakuan B dan KDN menerusi Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) di bawah APTQ 1986.

Katanya, serbuan itu dilakukan selepas risikan selama dua bulan, dan premis berkenaan dipercayai sudah dua tahun.

"Risikan yang dilakukan mengambil masa dua bulan sebelum melakukan serbuan ke atas premis yang didapati sudah menjalankan aktiviti itu sejak dua tahun lalu.

"Kita dapati kegiatan ini semakin licik dengan menggunakan di pelbagai platform e-dagang dan media sosial.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 (4) Akta Penapisan Filem (APF) 2002 dan Seksyen 7 (1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986.

"Masyarakat dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti membeli, memiliki, menerbitkan dan menjual filem yang tiada perakuan serta teks atau bahan al-Quran yang tidak mendapat kelulusan KDN," katanya.

NIK Yusaimi  (dua kanan) menunjukkan bahan dan peranti alat elektronik al-Quran yang dirampas. FOTO Ghazali Kori.
NIK Yusaimi (dua kanan) menunjukkan bahan dan peranti alat elektronik al-Quran yang dirampas. FOTO Ghazali Kori.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 5:54 PM