NIK Yusaimi pada sidang media selepas Mesyuarat LPPPQ. FOTO Bernama
NIK Yusaimi pada sidang media selepas Mesyuarat LPPPQ. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Sepang: Sebanyak 14,249 naskhah al-Quran bernilai RM325,571 dirampas Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (PK KDN) menerusi Op Mulia sehingga Februari lalu.

Setiausaha Bahagian PK KDN, Nik Yusaimi Yusoff berkata, semua naskhah al-Quran yang dirampas itu hasil serbuan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kedah.

"Sebahagian besar al-Quran yang dirampas adalah jualan di platform sosial media termasuk e-dagang dan tidak memiliki perakuan oleh KDN.

"Antara sebab naskhah dirampas adalah kerana ayat tidak sempurna, kesilapan pada titik dan baris, tidak mengikut resam Uthmani serta nama surah dan juzuk yang tidak jelas," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran (LPPQ) di sini, hari ini.

Nik Yusaimi berkata, kebanyakan al-Quran yang dirampas diimport dan dijual menerusi platform digital untuk pasaran negara ini.

"Bukan kita kata tidak boleh untuk import, tetapi mereka perlu memohon kepada KDN terlebih dulu untuk mendapatkan perakuan.

"Jika tidak mempunyai sebarang kesalahan dan al-Quran yang diimport ini disahkan betul serta melepasi peringkat penilaian maka ia layak dilekatkan hologram dan boleh dimiliki serta diedarkan untuk diamal di negara ini," katanya.

Mengulas mengenai keputusan hasil mesyuarat LPPQ, Nik Yusaimi berkata, mesyuarat memutuskan untuk membatal satu lesen mencetak al-Quran di Pulau Pinang kerana tidak lagi aktif mencetak naskhah itu.

"Selain itu, mesyuarat turut meluluskan empat pruf akhir teks al-Quran, lima lulus dengan pembetulan dan dua ditolak.

"Mesyuarat juga meluluskan pemuliaan (pelupusan) terhadap 1,988 naskhah teks al-Quran dan 20,675 unit bahan al-Quran di enam negeri iaitu Selangor, Kelantan, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 8:14 PM