NIK Yusaimi (depan, kiri) menunjukkan rampasan peranti al-Quran ketika sidang media. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NIK Yusaimi (depan, kiri) menunjukkan rampasan peranti al-Quran ketika sidang media. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Sejumlah 1,332 peranti al-Quran elektronik bernilai RM55,000 yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dirampas melalui Ops Mulia di Kajang, 20 Januari lalu.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof, berkata, pihaknya turut menahan wanita 30an dipercayai peniaga bahan al-Quran elektronik berkenaan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, rampasan itu membabitkan kesalahan mengikut Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 (APTQ 1986).

Katanya, KDN mengesyaki suspek sudah beroperasi sekurang-kurangnya sejak tiga tahun lalu, berdasarkan kepada kepelbagaian bahan al-Quran elektronik yang dirampas di rumah dipercayai disewa wanita terbabit.

"Operasi dilakukan berdasarkan kepada risikan dan pemantauan yang dijalankan terhadap premis yang menumpukan sasaran jualan al-Quran elektronik di sekitar Lembah Klang.

"Premis tempat pemeriksaan adalah rumah teres dua tingkat yang disewa beralamat di Kajang.

"Pengedaran al-Quran elektronik ini adalah berdasarkan permintaan secara dalam talian dan bekalan untuk premis jualan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, bahan berkenaan dipercayai diimport dari China.

Katanya, kebanyakan bahan ini selalunya diisytiharkan sebagai produk lain termasuk bahan perhiasan.

Nik Yusaimi berkata, bahan berkenaan memerlukan kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) bagi memastikan teks dan audionya bebas daripada kesalahan bacaan sahih, tiak mempunyai kesilapan dan mengelirukan.

Beliau berkata, jika tidak disemak, audio berkenaan dikhuatiri salah dari segi bacaan, hukum tajwid dan sebutan silap yang memberikan maksud tidak tepat sebagaimana ayat al-Quran yang diturunkan.

"Untuk makluman, sehingga kini terdapat 54 al-Quran elektronik yang diluluskan (cetakan dalam dan luar negara) oleh KDN di Malaysia sebagai pilihan sama ada untuk dijual, dimiliki atau diedarkan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Berikutan itu, pihaknya menasihati masyarakat umum untuk tidak memilih al-Quran elektronik, bahan audio al-Quran yang tidak mendapat kelulusan dengan membuat semakan terlebih dahulu terhadap cop perakuan dan ciri hologram KDN pada naskhah al-Quran yang mahu dibeli.

Selain itu, beliau turut menasihati anggota masyarakat untuk tidak terbabit dengan sebarang aktiviti membeli, memiliki, menerbitkan dan menjual teks atau bahan al-Quran yang tidak mendapat kelulusan KDN kerana pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan berkenaan.

"Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dihukum sehingga lima tahun penjara dan didenda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

"KDN jug menasihati orang ramai memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan teks al–Quran dan bahan penerbitan tanpa kelulusan dengan menghubungi kementerian itu di talian 03-80008000 atau melalui laman sesawang http://www.moha.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 4:58 PM