Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sebuah premis menjual buku di negeri ini diserbu pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Ibu Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya dan Kedah, Ahad lalu kerana disyaki menjual al-Quran tanpa kelulusan pihak berkuasa, Ahad lalu.

Dalam Ops Naskhah jam 11 pagi di daerah Pendang itu, sebanyak 6,914 naskhah al-Quran termasuk bahan al-Quran serta bahan penerbitan bernilai RM563,370 dirampas.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, kesemua naskhah al-Quran yang dirampas itu dipercayai tanpa kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) serta buku yang dikenakan Perintah Larangan mengikut Seksyen 6(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau berkata, rampasan itu membabitkan 2,874 unit al-Quran, 4,024 unit bahan al-Quran serta 16 naskhah bahan penerbitan.

"Bagi memastikan teks al-Quran yang dibaca adalah tepat dan tidak mengandungi kesalahan, masyarakat awam dinasihatkan berhati-hati dalam membeli, menjual dan memiliki serta membaca al-Quran yang diperakui oleh LPPPQ.

"Al-Quran yang diperakui LPPPQ mempunyai logo hologram yang diluluskan oleh KDN," katanya pada sidang media di Bangunan KDN, Anak Bukit, di sini hari ini.

Nik Yusaimi berkata, al-Quran yang dirampas itu dipercayai dibawa masuk dari Indonesia dan hasil dari serbuan yang dibuat, pegawai risikannya dibawa ke premis kedai jualan dan stor penyimpanan di daerah berkenaan.

"Mereka dipercayai beroperasi sejak 2018 namun kita sudah mengesan dan buat risikan cuma dalam proses risikan itu, ada halangan sebelum kita mendapat kesahihan dan menyerbu premis berkenaan.

"Ketika melakukan risikan itu, kita sudah berhubung dengan suspek warga tempatan berusia 40-an tapi ada kekangan untuk membawa ke lokasi sehinggalah membawa kejayaan pada hari serbuan kelmarin," katanya.

Nik Yusaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986, Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 dan Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 2:59 PM
NIK Yusaimi (kiri) menunjukkan sebahagian naskhah al-Quran, bahan penerbitan dan unit bahan al-Quran yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
NIK Yusaimi (kiri) menunjukkan sebahagian naskhah al-Quran, bahan penerbitan dan unit bahan al-Quran yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli