PENUNJUK perasaan dengan bendera Palestin. FOTO AFP.
PENUNJUK perasaan dengan bendera Palestin. FOTO AFP.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: MyAqsa Defenders menggesa kerajaan Malaysia menyatakan pendirian dan membawa isu pembunuhan rakyat Palestin di Jenin ke peringkat antarabangsa supaya mendapat perhatian.

Ahli Majlis Tertinggi MyAqsa Defenders dalam kenyataan hari ini memaklumkan, setakat minggu lalu dianggarkan 10 rakyat Palestin terkorban manakala 20 cedera selepas Kem Pelarian Jenin digempur tentera Zionis Israel.

"Sehingga kini situasi di Jenin dan seluruh Tebing Barat amat kritikal dan berdasarkan laporan media tempatan, Israel mengerahkan tenteranya ke beberapa kawasan.

"Pihak Zionis Israel juga bertindak mengebom beberapa lokasi membabitkan kawasan latihan mujahidin di Gaza tetapi tiada individu terkorban atau cedera dilaporkan setakat ini," katanya.

Bagi mengangkat isu itu, MyAqsa Defenders sentiasa berkomunikasi rapat dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media di Palestin media sosial.

Katanya, berdasarkan maklumaat rakan NGO pelaksana di Jenin memaklumkan rakyat di kawasan itu memerlukan barangan keperluan seperti pek makanan.

Selain itu, mereka juga memerlukan bantuan kewangan kepada keluarga syahid dan baik pulih rumah.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada salah satu NGO gabungan iaitu Cinta Gaza Malaysia menerusi pautan www.emergency4gaza.com.

"MyAqsa Defenders sebagai sebuah gabungan NGO juga menggesa tindakan kejam itu dihentikan segera dan menggesa semua pihak memainkan peranan mengangkat isu ini.

"Kami bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memberikan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 8:22 PM