NAJIB ketika dibawa ke mahkamah. FOTO Reuters
NAJIB ketika dibawa ke mahkamah. FOTO Reuters
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Ahli Umno seluruh negara dimohon melaksanakan solat hajat dan berdoa supaya Datuk Seri Najib segera dibebaskan, kata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pembebasan bekas Perdana Menteri itu sentiasa menjadi keutamaan parti.

Katanya, dia memohon ahli sentiasa mendoakan dipermudahkan urusan pembebasan Najib dan mendapat keputusan positif Lembaga Pengampunan.

"Saya tidak mahu berkongsi apa yang saya dan rakan-rakan dan usaha Umno lakukan (untuk membebaskan Najib), tapi yakinlah bahawasanya saya dan rakan-rakan ikhlas kepada bosku.

"Ini bukan kerana jasa beliau kepada individu sebaliknya jasa Najib kepada ahli Umno, rakyat dan negara yang amat banyak," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pasir Puteh di sini, malam ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan, Tan Sri Mohamad Fathmi Che Salleh dan Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman.

Ahmad Zahid berkata, dia sendiri sentiasa berdoa dan membuat solat hajat memohon agar Najib diberikan pengampunan oleh Lembaga Pengampunan, atau paling tidak ditahan di rumah supaya dapat bersama ahli keluarga lain.

Katanya, pihaknya tidak akan pernah menekan mana-mana pihak sebaliknya meminta ahli Umno yakin bahawa pemimpin itu akan dibebaskan dan memberi sokongan padu kepada Najib.

"Kita takkan berputus asa atau lari daripada perjuangan, malah di sebalik tirai besi sekalipun bosku sentiasa menyokong Umno, jadi saya mohon tolong doa, solat hajat supaya Datuk Seri Najib diberi kekuatan, doa yang ikhlas pasti Allah akan terima," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Najib untuk menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah dan kini menjalani hukuman penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 12:12 AM