LUKMAN Sheriff ketika sidang media di Kedutaan Palestin. FOTO Bernama
LUKMAN Sheriff ketika sidang media di Kedutaan Palestin. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yayasan MyAQSA akan menyerahkan dokumen berserta bukti terkini akan jenayah perang yang dilakukan oleh Rejim Israel terhadap penduduk Palestin, apabila pasukan itu bertemu Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda, lewat bulan ini.

Pengerusi bersama pasukan pakar undang-undang MyAQSA Lukman Sheriff Alias berkata, bukti terkini yang memperincikan jenayah perang itu dikumpul dengan kerjasama Kerajaan Palestin dan Kedutaan Palestin di Malaysia, dalam usaha untuk memastikan keadilan ditegakkan, katanya.

"Pembunuhan yang dilakukan oleh Rejim Zionis Israel adalah jenayah pembunuhan beramai-ramai secara terang-terangan, dengan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang adalah dalam bidang kuasa ICC di bawah Statut Rom," katanya pada sidang media di Kedutaan Palestin di sini pada Jumaat.

Turut hadir Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali dan Pengerusi Yayasan MyAQSA Suwardi Yaacob. Yayasan MyAQSA adalah sebuah organisasi bukan untung yang mendukung usaha kemanusiaan dan bantuan untuk rakyat Palestin.

WALID ketika sidang media di Kedutaan Palestin. FOTO Bernama
WALID ketika sidang media di Kedutaan Palestin. FOTO Bernama

Lukman berkata, Pendakwa Raya ICC memulakan siasatan rasmi mengenai jenayah perang di Palestin pada 9 Februari 2021, yang juga langkah penting dalam usaha untuk memperoleh keadilan.

Menurut laporan media, ICC mengumumkan bahawa ia mempunyai bidang kuasa di Palestin, membenarkan ketua pendakwanya menyiasat dakwaan kekejaman walaupun dibantah keras oleh Israel.

"Yayasan MyAQSA menggesa pejabat Pendakwa Raya ICC menggunakan kuasa mengikut klausa yang berkaitan, untuk segera memulakan tindakan terhadap Israel berdasarkan laporan dan bukti yang diberikan," katanya.

Lukman menegaskan bahawa Rejim Israel sengaja membunuh lebih 9,000 rakyat Palestin dalam tempoh empat minggu lepas, dengan 70 peratus daripada mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, tidak termasuk serangan dan pembunuhan sistematik rakyat Palestin sejak awal pendudukan Israel pada 1948.

Beliau berkata, hak mempertahan diri yang didakwa oleh Rejim Zionis tidak boleh diterima dan melampaui batasan memandangkan mereka setakat ini, antara lain, sengaja menjatuhkan lebih 18,000 tan bom di Gaza.

Selain itu, Lukman berkata, tindakan Rejim Zionis Israel menggunakan fosforus putih dalam operasi ketenteraan di kawasan paling padat penduduk di dunia, Gaza dan Lubnan, juga jenayah perang yang nyata di bawah Statut Rom dan pelanggaran terang-terangan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Sementara itu, Walid berkata, MyAQSA telah menjalankan tugas dengan baik mengumpul bukti jenayah perang Israel, sambil menyatakan bahawa usaha itu turut disokong oleh kerajaan Malaysia.

"Bersama-sama dengan MyAQSA dan kedutaan, kami menyelaras, bekerjasama dan cuba melakukan apa sahaja yang kami mampu bagi pihak Palestin dan rakyat Palestin yang menderita," katanya sambil menambah pihak kedutaan berterima kasih atas usaha itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Lukman berkata, MyAQSA turut menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menubuhkan majlis keselamatan dan pasukan pengamannya sendiri, dan menambah bahawa Malaysia sebagai anggota OIC wajar memainkan peranan utama dalam menyokong dan mencadangkan inisiatif itu.

"Mesyuarat tergempar OIC perlu diadakan tanpa berlengah-lengah untuk meluluskan usul itu, diikuti dengan penyerahan segera cadangan ini kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.

Lukman berkata, MyAQSA juga menggesa negara-negara Islam yang kini mengekalkan hubungan diplomatik dengan Israel supaya mengambil tindakan segera memutuskan hubungan itu dan menutup kedutaan Israel di negara masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 6:26 PM