DARI kiri, Syah, Hazamin, Rahim dan Hisyam.
DARI kiri, Syah, Hazamin, Rahim dan Hisyam.
Sudirman Mohd Tahir


PANDEMIK Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia tidak menghalang kumpulan nasyid Inteam untuk terus menghasilkan single baharu berjudul Al-Quds Lana.

Apa yang lebih membanggakan, single yang bermaksud Al-Quds (Baitul Maqdis) turut bergema di bumi Gaza, Palestin dalam sebuah perkongsian video ketika program sembelihan korban di sana.

Syah selaku ketua kumpulan Inteam berkata, single Al-Quds Lana itu diterbitkan bersama badan bukan kerajaan (NGO), MyAqsa Defenders.

"Alhamdulillah, single baharu kami yang diterbitkan bersama gabungan NGO MyAqsa Defenders baru sahaja dilancarkan pada Hari Raya Aidiladha kedua lalu. Dalam masa sama, kami melihat satu video dari sana lagu ini berkumandang di Gaza dalam sebuah program sembelihan korban. Kami sangat terharu dan bersyukur," katanya.

Berkongsi mengenai penerbitan single itu, Hazamin berkata ia dirakam sebelum kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Alhamdulillah, kami sempat merakamkan suara dan video muzik bagi projek ini sebelum PKPD diumumkan bahkan video muzik juga dirakam secara layar hijau bagi mengelakkan perkumpulan serentak keempat-empat anggota kumpulan. Kami cuma digabungkan berempat di dalam video dengan bantuan grafik," katanya.

Menurut Rahim pula, lagu Al-Quds Lana diolah semula daripada sebuah lagu lama berbahasa arab berkaitan perjuangan Palestin turut mendapat sentuhan puitis dari penulis lirik hebat Fedtri Yahya bagi bait-bait lirik Bahasa Melayu.

"Sewaktu kami menghubungi Fedtri Yahya bagi menggubah lirik lagu ini, dia tidak menolak malah turut gembira dapat turut sama dalam membina kesedaran dan menaikkan semangat masyarakat berkaitan isu Palestin.

"Kami memilih Fedtri Yahya kerana dia antara selebriti yang sentiasa berkongsi hantaran berkenaan maklumat terkini mengenai Palestin di media sosial. Dia juga antara ikon MyAqsa Defenders," katanya.

Sementara itu, Hisyam menyifatkan single terbaharu mereka itu memberi gambaran jelas di mana Baitul Maqdis itu adalah milik kita semua iaitu orang Islam.

"Lagu Al-Quds Lana bermaksud Baitul Maqdis atau Al-Aqsa milik kita semua dan kita harus mempertahankannya dari dirampas dan dicengkam musuh. Tujuan lagu ini dilancarkan ialah bagi menimbulkan kesedaran dan terus meniup semangat khususnya remaja dan belia berkenaan isu Palestin agar ia tidak hanya diberi perhatian secara bermusim sahaja," katanya.

Pembikinan dan produksi single Al-Quds Lana ini turut mendapat tajaan sepenuhnya dan sebahagian kosnya juga ditanggung oleh Inteam Digital sendiri.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak MyAqsa Defenders kerana sudi bekerjasama dengan kami selaku penerbit bersama lagu ini.

"Juga kepada penaja produksi iaitu Azlan Al-Amin Group Holdings dan semua yang terbabit secara belakang tabir mahupun peminat yang sudah menonton dan menyebarkan video muzik lagu ini kepada umum," tambah Hazamin lagi.

Single Al-Quds Lana dilancarkan di dalam sebuah majlis pelancaran secara atas talian pada 21 Julai lalu yang beserta pelancaran E-Book berjudul 100 Hujjah #AlQudsKitaPunya.

Single ini juga sudah mencecah lebih 20,000 tontonan di Youtube sejak dilancarkan, dan kini boleh ditonton di Youtube Inteam Digital dan distrim melalui platform digital seperti Spotify, Deezer, KKbox, Itunes, Apple Music dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 6:23 AM