ANTARA individu ditahan dalam serbuan di lapang lokasi berbeza sekitar Lembah Klang semalam. FOTO Ihsan JIM
ANTARA individu ditahan dalam serbuan di lapang lokasi berbeza sekitar Lembah Klang semalam. FOTO Ihsan JIM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Berselindung di sebalik lapan premis rumah urut sebaliknya menawarkan khidmat wanita warga asing sebagai pelacur.

Itu taktik digunakan sebuah sindiket pelacuran yang berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi serbuan Operasi Khas di lapan lokasi berbeza di sekitar Lembah Klang semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 75 individu terdiri daripada 57 wanita warga asing dipercayai pelacur diberkas dalam operasi itu

"Risikan mendapati, pelanggan akan hadir sendiri ke premis terbabit dan memilih wanita warga asing berdasarkan katalog yang diberikan, selain pelanggan juga boleh memilih wanita berdasarkan foto di aplikasi Telegram dan WhatsApp.

"Pelanggan yang berminat membuat bayaran secara tunai bermula RM100 hingga RM400 untuk sejam akan diberikan kepada penjaga premis sebelum memasuki bilik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi itu dijalankan di dua lokasi sekitar Jalan Tun Razak, di sini dan masing-masing satu di sekitar Jalan Pudu, di sini; Kampung Baru Subang, Shah Alam; Pusat Bandar Puchong, Puchong; serta Taman Andalas Jaya, Taman Bayu, dan Klang Central di Klang.

Katanya, operasi diaturgerak bermula 1.45 tengah hari oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya susulan risikan selama dua minggu berdasarkan maklumat dan aduan awam.

"Seramai 57 wanita ditahan adalah dari Indonesia seramai 32 orang, Bangladesh (11), Vietnam (lapan), dan India (enam) dan tangkapan lelaki warga Bangladesh (tujuh), Myanmar (dua), Indonesia (satu) kesemuanya berusia lingkungan 17 hingga 46 tahun.

"Turut ditahan, tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 23 hingga 65 tahun,"vkatanya.

Ruslin berkata semakan mendapati 13 wanita Indonesia dan empat wanita Vietnam memiliki pas perjalanan yang sah manakala dua wanita Indonesia dan seorang wanita Vietnam didapati tinggal lebih masa.

Katanya, baki warga asing yang ditahan didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, pasukan operasi merampas 15 pasport Indonesia, lima pasport Vietnam, wang tunai RM1,750, set komputer dan 10 buku kerja daftar pelanggan.

"Kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Semenyih kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Warga tempatan yang disyaki bekerja sebagai penjaga premis ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen Akta Imigresen 1959/63.

"Pada masa sama, empat lelaki warga asing, 14 lelaki dan seorang wanita tempatan diberikan notis hadir ke pejabat (JIM) bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 11:27 PM