SCHUMACHER (kiri) terbabit dalam kemalangan ketika bermain ski. FOTO AFP
SCHUMACHER (kiri) terbabit dalam kemalangan ketika bermain ski. FOTO AFP
AFP

Frankfurt: Polis Jerman menahan seorang pengawal keselamatan yang sebelum ini bekerja untuk keluarga legenda Formula Satu (F1) Michael Schumacher dalam kes yang berkaitan dengan plot pemerasan, kata pendakwa raya hari ini.

Lelaki berusia 52 tahun itu disyaki sebagai seorang pembantu kepada sepasang bapa dan anak yang ditahan bulan lalu kerana didakwa menuntut jutaan euro daripada keluarga Schumacher sebagai ganti untuk tidak berkongsi foto-foto peribadi keluarga.

Bekas pekerja itu ditangkap di bandar Wuelfrath di barat Jerman, kata pendakwa raya dari Wuppertal dalam satu kenyataan.

"Beliau disyaki sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk keluarga Schumacher dan diberi tugas lain, antaranya, untuk memasukkan foto-foto peribadi ke dalam format digital," kata kenyataan itu.

Pihak berkuasa juga menyita bukti dari rumah lelaki berkenaan, termasuk cakera keras, USB stick dan telefon bimbit.

Suspek terbaharu ini dikenal pasti oleh salah seorang dari dua tertuduh berkenaan, yang mendakwa bekas pengawal keselamatan itu dijanjikan komisen untuk menyampaikan 'data yang digunakan untuk tujuan pemerasan'.

Schumacher, juara dunia F1 tujuh kali, tidak pernah kelihatan di tempat awam sejak dia mengalami kecederaan otak serius dalam kemalangan ski pada tahun 2013 di Alpen, Perancis.

Penyiasat di Jerman diberitahu mengenai cubaan pemerasan ini oleh pihak berkuasa di Switzerland, di mana Schumacher dirawat di rumah keluarganya sejak kemalangan itu.

Pasangan bapa dan anak yang ditahan pada 19 Jun lalu menghubungi wakil keluarga dengan mendakwa mempunyai akses kepada fail-fail yang Schumacher 'tidak mahu diterbitkan'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 10:54 PM