NOORAZMAN Mohd Samsudin. FOTO arkib NSTP
NOORAZMAN Mohd Samsudin. FOTO arkib NSTP
Asmah Rusman

YAYASAN MyAQSA (MyAQSA) memfailkan surat tuntutan dan pendakwaan terhadap Israel kepada Mahkamah Jenayah Antrabangsa (ICC) secara formal dalam usaha mendapatkan keadilan dan menuntut hak rakyat Palestin dikembalikan semula dengan aman.

Ketua Pegawai Eksekutif MyAQSA Dr Noorazman Mohd Samsuddin berkata, pihaknya yakin inisiatif itu akan menyatukan masyarakat sivil antarabangsa termasuk kepimpinan dunia yang cintakan keamanan dan keadilan.

"Gabungan usaha ini sudah tentu akan menekan Israel untuk mengembalikan hak kedaulatan Palestin atau mereka akan menghadapi kebangkitan seluruh dunia dalam menentang keganasan mereka.

"Kami juga menyeru kerajaan Malaysia untuk membantu usaha kerdil kami dalam menjayakan tuntutan ini dan menyediakan platform yang berkesan.

"Kami yakin dengan gabungan usaha di antara badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan tentu akan menghasilkan kekuatan dan kejayaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noorazman berkata, pencerobohan Resolusi 2334 oleh Rejim Zionis Israel adalah satu penghinaan kepada kewibawaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai badan keselamatan dunia dan Malaysia sebagai negara yang mengusulkan pengaktifan resolusi itu pada 23 Disember 2016 yang mendapat pengundian menyeluruh 14-0.

Beliau berkata, satu jenayah perang dan pencabulan undang-undang antarabangsa sedang dilakukan rejim Zionis Israel ke atas kedaulatan negara Palestin di kawasan Tebing Barat.

Katanya, kajian MyAQSA menunjukkan Israel sudah mencabuli sekurang-kurangnya 28 Resolusi Majlis Keselamatan, malangnya tiada tindakan yang jelas dan tegas dilakukan oleh mana-mana pihak yang berkuasa.

"Pelanggaran resolusi ini melibatkan ribuan rakyat Palestin teraniaya tanpa pembelaan yang sewajarnya.

"Jenayah Perang dengan jelas berlaku apabila Israel melakukan aktiviti jenayah seperti merampas tanah, meruntuhkan rumah, membinasakan ladang dan perkampungan serta menangkap rakyat Palestin secara haram di Tebing Barat, Palestin, yang mana kawasan ini diistiharkan dalam Deklarasi Hak-hak Kemanusiaan Antarabangsa (Universal Declaration of Human Right, UDHR) oleh Carta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Konvensyen Geneva yang ke 4 dan Majlis Keselamatan PBB (UN Security Council, UNSC), Resolusi 2334," katanya.

Katanya, Resolusi 2334 menyatakan bahawa penempatan haram Israel di Wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, termasuk Jerusalem Timur adalah satu pencerobohan yang tidak sah dan menyalahi undang-undang antarabangsa.

Jelas beliau, tindakan itu akan menjejaskan penyelesaian dua negara dan keamanan yang kekal antara Palestin dan Israel.

"Resolusi ini menghendaki Israel untuk menghentikan segera segala aktiviti haram di wilayah Palestin termasuk Jerusalem Timur dan Tebing Barat.

"Pernyataan Resolusi 2334, mengikut Bab VII Piagam PBB, mengikat semua anggota PBB, termasuk Israel, merujuk kepada Konvensyen Geneva Keempat yang mana Israel menjadi pihak kepada, Perkara 49 yang melarang pemindahan massa mana-mana penduduk awam menduduki kuasa kepada mana-mana wilayah yang diduduki serta pengusiran mana-mana orang yang berasal dari wilayah yang berkenaan. Selanjutnya, seperti pemindahan jumlah kepada jenayah perang dalam arti Perkara 8 (2) (b) (viii) Statuta Rom.

"Pelbagai bukti konkrit didokumentasikan dengan baik di samping itu terdapat banyak laporan berita serta laporan komisen sama ada individu dan organisasi hak asasi manusia antarabangsa," katanya.

Katanya, butiran mengenai tindakan jenayah perang dan keganasan Israel juga didokumentasikan malah boleh disaksikan dengan jelas dalam media sosial.

Menurutnya, perkara itu sudah tentu membentuk bukti yang kukuh berkenaan tindakan kuku besi Israel dalam jenayah ‘perang’ melalui aktiviti haram pemindahan paksa penduduk secara tidak sah.

"MyAQSA yakin bahawa pelanggaran resolusi 2334 akan menimbulkan huru hara dan ketidakstabilan keselamatan bukan hanya di Timur Tengah malahan ke seluruh dunia.

"Justeru, kami menyeru seluruh pihak bermula dengan kerajaan Malaysia untuk bersama-sama kami membina satu platform yang kukuh terhadap usaha ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 11:02 AM