PEMINAT Turkiye sedia banjiri Berlin. FOTO AFP
PEMINAT Turkiye sedia banjiri Berlin. FOTO AFP
AFP

Berlin: Ahli komuniti Turkiye yang ramai di Berlin berjanji untuk mewarnai bandar berkenaan dengan warna merah apabila pasukan mereka tiba di ibu negara Jerman bagi aksi menentang Belanda dalam Euro 2024 Ahad ini.

"Suasana akan seperti perlawanan di laman kami sendiri," kata Muhammet Ali Sevilmis, 36 tahun, yang menjalankan perniagaan membaiki telefon di daerah Kreuzberg, Berlin.

"Akan dibanjiri oleh peminat Turkiye di stadium," kata Sevilmis, yang membelanjakan €500 euro (RM2,355) untuk sekeping tiket selepas kemenangan Turkiye ke atas Austria sekali gus mara ke suku akhir.

"Bagi kami orang Turkiye, tidak begitu penting sama ada lebih €100 (RM471) atau kurang. Yang penting, kami berada di stadium sambut hari kemenangan," katanya kepada AFP.

Sevilmis akan bersama-sama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, di Stadium Olimpik Berlin.

Pemimpin Turkiye itu mengumumkan kehadirannya di tengah-tengah kemelut diplomatik berhubung isyarat tangan ultra-nasionalis yang didakwa dibuat oleh pertahanan Turkiye, Merih Demiral, semasa kemenangan pasukannya menentang Austria.

Berlin adalah tempat tinggal kepada komuniti Turkiye terbesar di luar negara berkenaan, ramai di antara mereka adalah keturunan 'pekerja asing' yang dijemput dalam program ekonomi besar-besaran pada tahun 1960-an dan 70-an.

Lebih kurang 200,000 orang berketurunan Turkiye tinggal di bandar itu, atau kira-kira enam peratus daripada jumlah penduduk keseluruhan.

Daerah Kreuzberg khususnya menjadi pusat bagi budaya Turkiye dan restoran yang menyajikan kebab terkenal.

Kavurma Kofte, sebuah restoran Turkiye kecil dengan teres di salah satu jalan utama yang melalui kawasan ini, akan menyiarkan perlawanan berkenaan di skrin besar.

"Ia istimewa kerana ramai orang Turkiye tinggal di Berlin dan kami akan menjadi tuan rumah," kata pemiliknya, Kemal Salis, 64 tahun.

Restoran itu sudah penuh tempahan untuk Ahad ini, kata Salis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 10:08 PM