DATUK Seri Azhar Abdul Manaf. FOTO Ihsan MARA
DATUK Seri Azhar Abdul Manaf. FOTO Ihsan MARA
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Kerugian MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) bernilai RM 286.30 juta yang terkumpul sejak tahun 2012 hingga 2022 seperti dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) adalah berpunca dari pembelian aset luar negara.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Azhar Abdul Manaf menjelaskan, kerugian itu membabitkan sejumlah urusan pembelian aset khususnya di Australia dan United Kingdom (UK) antara 2012 hingga 2014.

"Dalam perkara ini, segala tindakan sewajarnya sudah diambil termasuk dari aspek perundangan serta tindakan susulan oleh MARA dan syarikat bagi menyelesaikan perkara ini.

"Majlis MARA pada September 2015 meluluskan pelan rasionalisasi pemulihan MARA Inc. bagi memastikan nilai aset meningkat dari tahun ke tahun.

"Ia juga bagi memperkasakan aspek tadbir urus syarikat ke arah mengurangkan kerugian terkumpul," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, pelaksanaan pelan berkenaan merangkumi aspek pelunasan hutang dan rasionalisasi aset MARA Inc di luar negara yang kini sudah bebas dari sebarang hutang dengan pihak luar.

Katanya, penularan wabak Covid-19 menyaksikan penyusutan nilai aset-aset berkenaan sekali gus menjejaskan prestasi kewangan apabila nilai aset berkenaan jatuh mendadak yang menjejaskan anak syarikat MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp) itu.

"Nilai aset itu jatuh mendadak dan menjadi penyumbang terbesar kepada kerugian terkumpul syarikat.

"Bagaimanapun mulai 2022 hingga Jun lalu, prestasi aset terbabit semakin baik dengan kadar sewaan dan kadar penghunian melebihi 90 peratus yang menjana pulangan baik kepada MARA Inc," katanya.

Azhar berkata, perkembangan itu memberikan impak positif kepada nilai aset terbabit pasca pandemik Covid-19.

Katanya, nilai pelaburan hartanah MARA Inc juga mencatatkan peningkatan hampir mencecah 30 peratus iaitu daripada RM 170 juta kepada RM215 juta.

Menurutnya, pihak pengurusan MARA komited dalam memastikan segala aspek tadbir urus korporat dan tata kelola bebas dari ketirisan atau penyelewengan.

"Prestasi kewangan menunjukkan tren positif dengan merekodkan keuntungan selepas cukai bagi tahun 2022, 2023 dan setakat Mei lalu.

"Ia sekali gus mengurangkan kerugian terkumpul sebanyak RM14.06 juta atau lima peratus dari jumlah kerugian terkumpul pada tahun 2022 dan membolehkan MARA Inc. membuat pembayaran dividen kepada MARA Corp," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 12:38 AM