AKSI antara Kedah dan Penang sebentar tadi. FOTO Bernama
AKSI antara Kedah dan Penang sebentar tadi. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman (KDA) FC layak ke saingan separuh akhir Piala FA dengan agregat 1-0 selepas seri tanpa jaringan ketika menentang Penang FC pada saingan suku akhir Piala FA di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Keputusan ini juga mengulangi rekod manis Sang Kenari sejak pencapaian yang direkodkan lima tahun lalu apabila kembali berada pada empat pasukan terbaik Piala FA.

Menerusi perlawanan sengit seawal minit pertama kedua-dua saling cuba mendapatkan gol awal melalui Nik Akif Syahiran Nik Mat untuk Penang dan Sukhrob Nurullaev buat Kedah namun percubaan mereka tersasar.

Penang FC mendapat peluang terbaik pada minit ke-8 melalui penyerang Rodrigo Diaz melalui serangan pantas namun percubaannya disekat pertahanan Kedah, Irfan Zakaria.

Kedah bangkit dengan serangan oleh kapten pasukan, Sony Norde empat minit kemudian namun percubaannya berjaya ditangkap oleh penjaga gawang Penang, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Peluang oleh pemain Penang, Neto Oliveira pada minit ke-17 untuk menghasilkan gol namun sekali lagi dinafikan apabila percubaan melalui tandukan terkena palang gol.

Deretan peluang terbaik seterusnya dimiliki Kedah melalui Sony Norde dan juga Syafiq Ahmad disamping Penang melalui Rodrigo Diaz, namun sentuhan terakhir penyerang-penyerang ini gagal membuka sebarang jaringan hingga ke hujung babak pertama.

Bermula babak kedua, Kedah yang mempertingkatkan serangan memburu gol pertamanya melakukan percubaan tandukan oleh Syafiq Ahmad pada minit ke-49 tetapi percubaannya mudah dibaca Sikh Izhan.

Penang melalui Nabil Latpi pula terlepas peluang pada minit ke-59 selepas gerakannya digagalkan pemain pertahanan Kedah Irfan Zakaria dan ini disusuli tandukan Richmond Ankrah pada minit ke-72 juga gagal menewaskan Kalamullah Al Hafiz.

Kedah bagaimanapun hampir mendapat peluang gol selang dua minit kemudian, apabila sepakan ke gol sendiri 'oleh pemain Penang,' Ankrah hampir membolosi gol sendiri tetapi berjaya ditepis keluar oleh Sikh Izhan.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mendapatkan gol hingga ke hujung perlawanan namun tiada jaringan terhasil sehingga pengadil menamatkan perlawanan selepas empat minit tambahan untuk waktu kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 11:31 PM