LUKMAN SHERIFF ALIAS
LUKMAN SHERIFF ALIAS
Rafidah Mat Ruzki

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) MyAQSA menjadi pihak tunggal yang akan menjadi sahabat mahkamah (amicus curiae) kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam usaha membantu menentukan bidang kuasa mahkamah terhadap jenayah perang Israel di Palestin.

Ketua Pasukan Peguam MyAQSA Lukman Sheriff Alias berkata, seperti yang dijanjikan pihak pendakwa raya ICC kepada MyAQSA dalam pertemuan di The Hague pada 2 Mei tahun lalu, Pendakwaraya ICC Fatou Bensouda pada 20 Disember lalu mengumumkan secara rasmi untuk memulakan siasatan seterusnya mendakwa Israel atas kesalahan jenayah perang yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Baitulmagdis, Tebing Barat dan Gaza.

Bagaimanapun, menurutnya, sebelum siasatan dan pendakwaan rasmi dapat dilakukan terhadap Israel, pendakwa raya ICC membuat permohonann kepada Kamar Pra Perbicaraan ICC untuk menentukan dengan jelas sama ada ICC mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah yang dilakukan Israel di wilayah Palestin berdasarkan kepada Artikel 19(3) Statut Rom, berikutan Israel bukan ahli Statut Rom manakala status dan kedaulatan Palestin sebagai sebuah negara dipertikaikan.

“Sehubungan itu, MyAQSA sudah mengambil langkah proaktif bagi membantu perjuangan rakyat Palestin dengan memohon kebenaran untuk bertindak sebagai sahabat mahkamah ICC.

“Ia membolehkan MyAQSA membantu ICC dengan mengemukakan hujah bahawa Palestin adalah sebuah negara berdaulat dan dengan itu ICC mempunyai bidang kuasa mutlak untuk menyiasat, seterusnya mendakwa Israel atas perbuatan jenayah mereka selama ini,” katanya ketika sidang media selepas sesi Bengkel Khas MyAQSA mengenai Bidang kuasa ICC membabitkan Jenayah Perang Israel di Wilayah Palestin di Putrajaya hari ini.

Lukman berkata, permohonan itu dimaklumkan kepada pihak MyAQSA dua hari lalu dan NGO itu diminta menyediakan hujah berkaitan yang perlu dihantar kepada ICC sebelum 16 Mac ini.

Menurutnya, sebagai satu-satunya organisasi di Asia yang diterima menjadi sahabat mahkamah oleh ICC, ia juga satu cabaran besar kerana ada tujuh negara terdiri daripada Jerman, Austria, Australia, Hungary, Republik Czech, Uganda dan Brazil serta berpuluh organisasi lain juga membuat permohonan sama untuk berhujah bagi menyokong Israel.

“MyAQSA sudah membentuk satu pasukan khas yang terdiri daripada peguam dan pensyarah undang-undang terkenal dan berpengalaman luas dalam perundangan antarabangsa dengan diketuai oleh Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa dan Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad.

“Kami juga mengalu-alukan mana-mana tenaga pakar perundangan antarabangsa yang ingin turut sama membantu dan menyumbang kepada pasukan khas kami dalam proses untuk menyediakan penghujahan penuh kepada pihak ICC,” katanya.

Sementara itu, Rahmat berkata, teras hujahan pihak itu berdasarkan kepada penyelidikan yang dilakukan antara kerajaan, Organisasi Rundingan Perundangan Asia–Africa (AALCO) pada 2013 yang memuktamadkan bahawa Palestin adalah sebuah negara yang berdaulat mengikut undang-undang antarabangsa.

Menurutnya, kajian itu sudah diterima oleh semua 47 negara anggota AALCO seperti China, India, Jepun, justeru pihaknya yakin ICC mempunyai bidang kuasa untuk tujuan berkenaan.

Beliau berkata, ICC sudah melakukan penyiasatan terdahulu dan mempunyai banyak bukti serta maklumat yang menunjukkan Israel menyalahi undang-undang antarabangsa.

“Bahan bukti itu tidak menjadi masalah kerana kita mempunyai dokumen dan resolusi daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan yang menunjukkan mereka itu bersalah.

“Tetapi yang penting adalah untuk memulakan perbicaraan ini mesti buktikan bahawa Palestin itu sebuah negara merdeka atau negara berdaulat atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, untuk tujuan itu, pasukan berkenaan akan memperkukuhkan hujah untuk menyatakan bahawa Palestin adalah sebuah negara berdaulat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 7:00 PM