AHMAD Zahid. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Zahid. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Umno yakin mampu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihanraya Kecil (PRK) Ogos ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sudah menghadap Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan menerima senarai pendek nama calon bagi DUN berkenan.

Katanya, keputusan akan dibuat dalam masa terdekat bersama Biro Politik parti.

"Apa makna ada calon, jentera kuat, 24,000 ahli Umno Pasir Puteh, 14,000 ahli Umno Jeli dan jika ada lebih 300,000 ahli Umno di Kelantan jika Nenggiri kita tak menang.

"Saya yakin semangat Umno berbeza sekarang, Umno kembali memuncak sekarang, kita akan dapatkan kembali Nenggiri," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pasir Puteh di sini, malam ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahmad Zahid berkata, ini dibuktikan dengan 21,000 cawangan Umno di seluruh negara tiada yang dibubarkan meskipun parti itu tewas besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Malah, katanya, kehadiran ahli Umno dalam mesyuarat perwakilan semakin bertambah dan sentiasa 'cukup korum'.

"Kita juga buat lantikan semula Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), jaga anak buah masing-masing, jika ada rezeki, kita naikkan elaun.

"Abe akan jaga anak buah, kalau kita main peranan pergiat akar umbi, bahagian, negeri, Umno akan kembali gagah di persada tanah air," katanya.

Sementara itu, Ahmad Jazlan berkata, Umno Kelantan bersiap memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada setiap sahaja calon yang akan diletakkan di DUN Nenggiri.

Katanya, semua ahli Umno akan 'berkampung' di Nenggiri yang akan bermula dengan penamaan calon pada 3 Ogos dan mengundi pada 17 Ogos dengan undi awal pada 15 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 12:27 AM