GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nadir Al-Nuri

WALAUPUN hidup diteruskan di balik pandemik Covid-19 yang berlaku, tidak boleh dinafikan bahawa apa yang disebutkan pakar sebagai krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua ini akan terus menjadi topik utama berita buat beberapa bulan lagi.

Di negara haram Israel, semalam mereka dikejutkan apabila Perdana Menteri mereka sendiri, Benjamin Netanyahu dikuarantin setelah pembantunya didapati positif Covid-19 walaupun keputusan ujiannya negatif. Ia diikuti pula Menteri Kesihatan Yaakoz Litzman yang disahkan positif.

Wabak ini merebak dengan sangat cepat di negara haram itu dan ketika artikel ini ditulis, lebih 6,200 kes sudah dikesan dengan 31 kematian dicatatkan.

Bagaimanapun, bagi negara yang mentadbir setiap langkah dengan penuh ketakutan, bahaya Covid-19 kepada mereka tidak dianalisis dari aspek kesihatan dan ekonomi saja. Institut Kajian Keselamatan Nasional di Universiti Tel Aviv menggariskan sepuluh senario negatif yang mungkin berlaku dengan krisis Covid-19 yang berpanjangan di pentas antarabangsa dan paling penting menjejaskan negara kayangan berkenaan.

Institut itu menyebutkan kemungkinan runtuhnya sistem pemerintahan negara yang Israel-friendly di sekitarnya, seperti Jordan, Mesir, malah Lubnan dan Palestin sendiri jika keadaan tidak dapat dikawal dan tercetusnya huru-hara akibat kekurangan keperluan perubatan. Terdapat juga kemungkinan berlaku penghijrahan masuk ke Israel daripada penduduk negara itu.

Institut itu juga menyatakan kebimbangan meningkatnya serangan daripada ‘musuh’ Israel, melibatkan tiga sudut. Pertamanya ialah serangan dari dalam Gaza yang bertujuan menekan kepungan diangkat atas alasan kekangan perubatan dan pergerakan bagi mencegah penularan virus serta gesaan negara penjajah memainkan peranan membendung wabak daripada tersebar dengan membekalkan peralatan mengesan wabak dan pesakit. Kedua serangan dan penculikan dari dalam Tebing Barat, yang mungkin bertambah akibat longgarnya sistem keselamatan dan perisikan Israel ketika ini.

Ketiga kemungkinan ISIS bangkit semula menerobos kawasan yang pernah dikuasai dengan mengambil peluang sistem ekonomi dan pemerintahan yang rapuh.

Perlu dijelaskan di sini bahawa serangan dan kezaliman ke atas penduduk Palestin khususnya di Tebing Barat ketika ini tidak pernah berhenti walaupun sudah sedia teruji dengan wabak. Pada 26 Mac lalu, badan hak asasi manusia yang berpusat di Al-Quds, B’tselem melaporkan bagaimana tentera Zionis merampas peralatan dan khemah yang bertujuan membina klinik lapangan mencegah Covid-19 di desa Khirbet Ibziq. Tentera juga masih aktif merobohkan rumah penduduk serta menceroboh masuk rumah di tengah malam untuk melakukan operasi penangkapan.

Justeru, negara bongkak ini tidak tunduk, malah terus mengganas walaupun kajian Universiti Tel Aviv turut menyatakan yang krisis Covid-19 mampu menundukkan Israel apabila jangkaan juga dibuat bahawa Russia akan mengambil peluang ini mendekati negara seperti Iran dan Iraq untuk mengimbangi kuasa Amerika Syarikat dan mungkin membekalkannya dengan sistem persenjataan baru misalnya sistem S400 dan negara Teluk yang dekat dengan Israel akan terhakis kuasa mereka akibat kejatuhan harga minyak.

Sungguh hebat penangan Covid-19 yang mampu menggegarkan alam, walaupun wujudnya tidak dilihat, tetapi kesannya cukup menyengat.

Dan Palestin terus menjadi Palestin yang sama, cuba mencari jalan keluar daripada kemelut, dengan segala kekurangan dan himpitan yang ada. Betullah kata hikmah Inggeris necessity is the mother of invention apabila Universiti Al-Quds mengumumkan penghasilan mesin ventilator buatan tempatan dan pelajar Universiti Islam Gaza mula menghasilkan pelindung muka dengan mesin 3D untuk kegunaan barisan hadapan. Palestin, akan kekal Palestin, walau berdepan apa saja.

Tetapi, kita perlu memainkan peranan membantu mereka. Dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebajikan Masyarakat Palestin, kami di Persatuan Cinta Gaza Malaysia sudah mula mengumpul dana meringankan beban mereka. Layari sahaja laman www.emergency4gaza.com untuk membantu.


>>Nadir Al-Nuri adalah rakyat Malaysia tunggal di Gaza dan pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia serta Wisma Malaysia Palestin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 6:01 AM