Polis dan tentera Zionis Israel menggempur dan mencemari kesucian Masjid Al-Aqsa dengan memukul penduduk dan merosakkan beberapa fasiliti utama di kawasan masjid. FOT AFP
Polis dan tentera Zionis Israel menggempur dan mencemari kesucian Masjid Al-Aqsa dengan memukul penduduk dan merosakkan beberapa fasiliti utama di kawasan masjid. FOT AFP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis dan tentera Zionis Israel menggempur dan mencemari kesucian Masjid Al-Aqsa dengan memukul penduduk dan merosakkan beberapa fasiliti utama di kawasan masjid.

Ahli Majlis Tertinggi MyAqsa Defenders dalam satu kenyataan berkata, tindakan tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa ini mengakibatkan tujuh rakyat Palestin cedera parah, ratusan yang lain cedera ringan dan lebih 400 ditangkap.

"Berita terkini dari rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kami di lokasi juga memaklumkan Klinik Lapangan di Masjid Al-Aqsa hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui MyAqsa Defenders pada 2021 rosak teruk akibat keganasan regim Zionis.

"Selain itu, rejim Zionis juga bertindak menutup pintu-pintu masuk ke Masjid Al-Aqsa bagi menghalang rakyat Palestin beriktikaf dan pasukan paramedik untuk merawat mangsa yang tercedera dan hal ini menambahkan lagi ketegangan yang berlaku," katanya.

Menurut kenyataan itu, episod keganasan kali ini berkait rapat dengan perayaan Yahudi Passover (Paskah) yang disambut oleh rakyat Israel dan dijadualkan bermula pada 5 April dan akan berlangsung selama 7 hari.

Katanya, kemuncaknya adalah perarakan besar-besaran yang akan berlangsung di sekitar Masjid Al-Aqsa.

"Sejak awal tahun ini, situasi di Tebing Barat berada di tahap yang sangat genting apabila rejim Zionis Israel menggempur Jenin, Nablus dan beberapa bandar utama dan melaksanakan beberapa siri pembunuhan dan penangkapan pemuda Palestin.

"Sehingga kini seramai lebih 90 rakyat sudah terbunuh sejak awal 2023 sahaja, menjadikannya antara tahun paling berdarah buat Palestin.

"Bagi mengangkat isu ini, kami sentiasa berkomunikasi dan melaporkan daripada rakan-rakan NGO dan media di Palestin melalui medium media sosial kami," katanya.

Katanya, antara keperluan yang utama ketika ini ialah bantuan baik pulih klinik lapangan dan bantuan kewangan kepada keluarga yang telah cedera.

"MyAqsa Defenders juga ingin menguar-uarkan bahawa bantuan kecemasan untuk Al-Quds boleh disalurkan kepada NGO gabungan kami di pautan https://beacons.ai/myaqsa.

"MyAqsa Defenders juga menggesa agar kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan segera mengutuk tindakan biadap rejim Zionis ini dan mengangkat isu ini di Parlimen serta memanfaatkan platform di peringkat antarabangsa isu ini mendapat perhatian semua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 8:24 PM