Pemandu bas dilaporkan maut selepas kenderaan berat itu terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) malam tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Pemandu bas dilaporkan maut selepas kenderaan berat itu terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) malam tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Oleh Izz Laily Hussein


Kulai: Pemandu maut manakala lapan penumpang bas ekspres cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 32.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di sini, malam tadi.

Mangsa, Ismail Tapah, 65, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 9.30 malam itu membabitkan tiga kenderaan iaitu bas, kereta dan lori.

Beliau berkata, dalam kemalangan terbabit, selain warga emas yang maut, lapan penumpang bas cedera ringan.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan disyaki berlaku apabila lori yang sedang bergerak terus menghala ke arah utara terbabas di tengah jalan dan tersangkut di bahagian tengah besi pembahagi jalan.

"Bas dipandu mangsa yang kemudian datang dari arah yang sama tidak sempat mengelak dan melanggar lori berkenaan dari belakang.

"Akibat pelanggaran itu, bas terbabas ke longkang di kiri jalan sebelum kereta pula terlanggar lori berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Tok, pemandu lori dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kenderaan yang terbabit akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Senai untuk pemeriksaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai dan BBP Skudai dikejarkan ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.17 malam.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Fairuz Helmi Mohd Ali berkata, setibanya di tempat kejadian, pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa-mangsa yang cedera dan meninggal dunia dari bas berkenaan.

"Mereka yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi ditamatkan pada jam 12.42 tengah malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 10:30 AM