KEADAAN lokasi kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan dua kereta. FOTO ihsan PDRM dan JBPM
KEADAAN lokasi kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan dua kereta. FOTO ihsan PDRM dan JBPM
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEBUAH bas ekspres terbabas dan masuk ke dalam gaung sedalam 6.09 meter di Kilometer 26.4, Lebuhraya PLUS arah utara dekat Kulai, Johor, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari, bas berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur ke JB Sentral, Larkin sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa 26 penumpang dan dua kereta.

Beliau berkata, bas yang menghala ke arah selatan hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah lori yang tiba-tiba memasuki laluannya sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

"Pemandu bas gagal mengawal kenderaan itu lalu melanggar besi penghadang jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar dua kereta.

"Akibat kemalangan itu, bas terbabit masuk ke dalam gaung arah ke utara," katanya.

Dalam kemalangan itu, Dzulkhairi berkata, dua mangsa cedera ringan manakala yang lain tidak cedera.

Katanya, pemandu kedua bas ekspres itu, Zamnudin Mamat, 46, cedera di tangan kiri manakala pemandu sebuah kereta, Yean Bao Long, 35, luka di badan.

"Semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu terdiri daripada 11 warga tempatan, lima warga Indonesia, seorang warga Myanmar serta dua warga Singapura manakala identiti 11 lagi mangsa tidak dapat dikenal pasti," katanya.

Dzulkhairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 4:34 PM