LORI dinaiki dua beradik yang terbabit kemalangan dengan empat kenderaan lain.
LORI dinaiki dua beradik yang terbabit kemalangan dengan empat kenderaan lain.
Nurul Hidayah Bahaudin

Rawang: Dua beradik maut selepas terbabit kemalangan dengan empat kenderaan lain di Kilometer 436.4 Lebuhraya Utara Selatan susur ke kawasan rehat dan rawat (RNR) Rawang arah Selatan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Muhammad Faizi Zainal Abidin, 30, yang juga pemandu lori serta abangnya, Mohd Fikri Zainal Abidin, 35, yang bekerja sebagai kelindan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kemalangan kira-kira 3 pagi itu membabitkan lima kenderaan iaitu sebuah lori, sebuah bas, dua kereta masing-masing Proton Waja dan Mercedes serta kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream.

"Hasil siasatan di lokasi mendapati lori dan bas berkenaan dari arah Sungai Buaya menghala ke Rawang. Sebaik tiba di lokasi, lori yang dipandu paling kiri dilanggar bas yang berada di lorong tengah dari arah belakang.

"Pelanggaran itu menyebabkan lori terbabas ke susur masuk RNR Rawang lalu melanggar tiga kenderaan lain yang sedang memandu perlahan untuk masuk ke hentian terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainal berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu serta kelindan lori terbabit cedera di kepala dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia jam 8.30 pagi sebelum mayat mereka dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

"Dua pemandu kereta serta seorang penumpang kereta turut dilaporkan mengalami kecederaan, manakala pemandu bas serta 38 penumpang kenderaan itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 4:20 PM