KEADAAN kenderaan mangsa yang remuk teruk. Gambar kecil, S Balakrishnan. FOTO Zain Ahmed.
KEADAAN kenderaan mangsa yang remuk teruk. Gambar kecil, S Balakrishnan. FOTO Zain Ahmed.
Nurul Amanina Suhaini


BEKAS Naib Presiden MIC, Tan Sri S Balakrishnan, 65, disahkan antara empat mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 33 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) dekat Kulai, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kejadian berlaku pada 12.10 tengah malam dengan tiga lagi yang maut adalah G Ravi, 55; A Ragu, 47, dan K Ramachandran, 51.

Katanya, siasatan awal mendapati semua mangsa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dipandu V Vishnukumar, 44, (cedera) dari Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.

“Terdapat tujuh individu dalam kenderaan itu dan ia dipandu di lorong kanan sebelum sebuah treler jenis Scania dari arah Johor Bahru hilang kawalan dan melanggar besi pembahagi jalan.

“Lori itu terbabas ke laluan mangsa dan melanggar tepi sebelah kanan kenderaannya. Pada masa sama, sebuah Proton Wira dipandu lelaki berusia 40 tahun gagal mengelak, melanggar belakang Toyota Vellfire itu.

“Kemalangan itu menyebabkan empat penumpang Toyota Vellfire parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bakinya cedera,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Empat maut, lori kontena terbabas

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 2:06 PM